WILAYAH - UTARA > BERITA

TIGA GENERASI MASAK 10,000 MI GORENG SOTONG PERCUMA 24 JAM

22/06/2024 11:32 PM

GEORGE TOWN 22 Jun (Bernama) -- Padang Kota Lama di sini bagaikan ‘pesta mi goreng sotong’ apabila Young Muslim Sports Club (YMSC) bersama Seeni Food & Beverage Sdn Bhd kini dalam percubaan mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dengan memberikan 10,000 pek mi percuma kepada orang awam. 

Presiden YMSC Munowar Sadiq MKE Kader Sultan berkata program "Most Mee Goreng Sotong Giveaway" dijalankan selama 24 jam bermula 5 petang tadi hingga 5 petang esok.

“Dalam satu jam, kita nak sasar 500 pek jadi 10 jam 5,000 pek dan dalam 20 jam sebanyak 10,000 pek sementara kita sasar untuk habis dalam masa 20 jam. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dengan 16,000 pek berjaya dicapai dalam satu jam sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di Padang Kota Lama di sini hari ini.

Lebih menarik perhatian, tukang masak mi goreng sotong tersebut terdiri daripada tiga generasi iaitu Sheik Abidin Akm Mustaffa, 80, anaknya Seeni Mohamed Sheik Abidin, 47, dan cucu Syed Muhammad Hafiz Seeni Mohamed, 24.

Munowar Sadiq berkata program itu merupakan idea cetusan Syed Muhamad Hafiz dan perbelanjaan keseluruhan menelan hampir RM100,000.

"Untuk 10,000 pek ini kita belanja habis RM100,000, untuk mi goreng sahaja RM50,000. Satu peket mi, RM4 hingga RM5 dan kita bagi sarbat (minuman) sekali, baki RM50,000 dibelanjakan untuk permit, khemah, peralatan, sistem bunyi dan sebagainya," katanya.

Program "Most Mee Goreng Sotong Giveaway" mendapat sambutan hangat pengunjung yang mengambil peluang untuk menikmati mi goreng sekali gus membantu mencipta rekod berkenaan

Usahawan, Nur Azira, 33, berkata mi goreng sotong itu memang telah lama menjadi perhatian orang ramai.

"Mi dia memang ‘meletup’, pedas memang cukup, rasa memang sedap, jadi kami mai sini memang nak sokong (cipta rekod) Book of Record ini la," katanya.

Tahun lepas, YMSC telah mencipta rekod MBOR dengan melukis Mural Jalur Gemilang terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 541 meter di tembok Jalan Tanjong Bungah di sini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan