WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIGA SUPER: SELANGOR NAIK TANGGA KEDUA, KIJANG EMAS RAIH KEMENANGAN SULUNG

23/06/2024 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Selangor FC merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menewaskan Perak FC 2-1 meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Penyerang import Ronnie Fernandez muncul wira Gergasi Merah selepas mencetak dua gol pada separuh masa pertama, sementara pemain tengah muda dari Ghana Alex Agyarkwa dilayangkan kad merah pada minit ke-64 susulan kekasaran yang dilakukan.

Fernandez memecah kebuntuan gol pada minit ke-24 selepas menyudahkan tampanan kurang kemas penjaga gol pelawat Mohamad Ramdhan Ab Hamid, sebelum mencetak jaringan peribadi kedua apabila menyempurnakan penalti pada minit ke-40 untuk memastikan Selangor selesa mendahului 2-0.

Selepas insiden Agyarkwa diperintah keluar padang, Selangor yang cuba bertahan dengan 10 pemain akhirnya dibolosi setelah pemain tengah gantian Perak Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar memanfaatkan hantaran lintang dari sebelah kiri dengan melepaskan tandukan cantik pada minit ke-79.

Tiga mata yang berjaya dikutip menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil itu mengumpul sembilan mata, hanya tiga mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi seterusnya bulan depan.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Kelantan Darul Naim (KDN) FC meraih tiga mata pertama musim ini selepas mengatasi PDRM FC 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV.

Jaringan tunggal perlawanan dihasilkan ketua pasukan Oday Kharoub menerusi penalti pada minit ke-29 sekali gus menjadi pemisah kedua-dua pasukan hingga wisel penamat.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak mengubah posisi skuad Sang Kijang Emas yang kekal sebagai pasukan kedua tercorot, manakala PDRM jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam dengan mengumpul empat mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan