WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NRES BADAN KERAJAAN PERTAMA SERTAI PROGRAM KARBON KORPORAT MAG

24/06/2024 03:33 PM

SEPANG, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) menjadi badan kerajaan pertama menyertai Program Karbon Korporat Malaysia Aviation Group (MAG).

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen kementerian untuk mengimbangi pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada perjalanan rasmi.

Beliau berkata melalui pendekatan memimpin melalui teladan, tindakan ini  merupakan satu daripada cara untuk menggalakkan kemampanan dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk mempromosikan kelestarian.

“Kita akan bawa (program) ini kepada Kabinet. Kita ada Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang saya pengerusikan.

“Jika kita tidak boleh buat di setiap kementerian sekurang-kurangnya beberapa kementerian…ada yang kritikal ke arah penyahkarbonan dan hijau,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Laporan Kelestarian MAG 2023 sempena Hari Kelestarian di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail.

Nik Nazmi berkata Program Karbon Korporat MAG dilancarkan pada Mac tahun ini dan kerjasama  dengan Petronas Dagangan Bhd (PDB) untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) berskala komersial menunjukkan komitmen Malaysia dalam mengurangkan pelepasan karbon dan meletakkan negara sebagai peneraju amalan penerbangan mampan di peringkat serantau dan global.

Beliau berkata usaha MAG juga menyokong merealisasikan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050, yang disahkan pada Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kebangsaan (MTPIN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun.

Menurut beliau, NRES memuji usaha MAG dalam memacu perubahan, inovasi dan memajukan amalan mampan di Malaysia untuk melindungi alam sekitar serta memastikan daya maju jangka panjang sektor penerbangan.

Sementara itu, Izham berkata MAG bersedia untuk mengambil bahagian dalam Pendaftaran SAF Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang akan mengambil kira dan melaporkan pengurangan pelepasan daripada SAF dengan objektif mempercepatkan pengambilan SAF.

“Dijangka dilancarkan pada suku pertama 2025, pendaftaran itu akan membantu pihak berkuasa berkaitan mengesahkan dan meluluskan tuntutan pengurangan pelepasan dengan pantas, memastikan penjajaran dengan piawaian antarabangsa ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya.

Mengenai laporan kemampanan, Izham berkata ia merupakan langkah ketiga menyerlahkan pencapaian utama kumpulan itu sepanjang tahun, mempamerkan sumbangan kepada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau berkata antara yang menarik termasuk 34 peratus penyertaan wanita dalam jumlah tenaga kerja, dengan 50 peratus perwakilan wanita dalam pengurusan kanan.

Izham berkata laporan itu juga menunjukkan 17 peratus penggunaan tenaga tahunan daripada sumber boleh diperbaharui, penggantian lebih 4.5 juta unit plastik sekali guna dengan bahan terbiodegradasi dan mengguna pakai teknologi operasi tanah terkini dengan mengendalikan elektrik sepenuhnya menggunakan Mototok Spacer 8600NG oleh AeroDarat Services.

Izham berkata program mengimbangi karbon secara sukarela di Malaysia akan disediakan kepada pelanggan kargo yang dijangkakan pada September tahun ini, menekankan komiten MAG untuk mengembangkan portfolio projek untuk memasukkan lebih banyak projek pokok karbon kebangsaan serta terus melabura dalam inisiatif mampan dalam komuniti tempatan.

Tahun lepas, MAG telah mempelopori program pengimbangan karbon sukarela di Malaysia yang membolehkan penumpang Malaysia Airlines mengimbangi pelepasan berkaitan penerbangan dengan menyokong projek karbon yang disahkan. 

Program berkenaan kemudiannya diperluaskan kepada pelanggan korporatnya pada Mac tahun ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan