WILAYAH - TENGAH > BERITA

PELAJAR LEPASAN SPM ANTARA DUA DITAHAN BALING BATU PADA BAS PENYOKONG BOLA SEPAK

24/06/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan antara dua lelaki yang ditahan, kerana disyaki melakukan khianat dengan membaling batu pada cermin bas yang membawa penyokong pasukan bola sepak Perak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata pihaknya menerima laporan insiden melibatkan dua suspek yang menaiki motosikal, telah membaling batu ke arah bas terbabit di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), menghala arah utara pada 8.49 malam semalam.

Beliau berkata kedua-dua suspek 17 dan 20 tahun yang tidak mempunyai rekod lampau itu, ditahan penyokong Perak yang menaiki bas tersebut dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, sebelum diserahkan kepada pihak polis dan direman tiga hari bermula hari ini.

“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kes khianat, yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian itu turut tular di media sosial, dengan sekurang-kurangnya terdapat dua video yang berdurasi 32 dan 14 saat memaparkan berlaku kekecohan di sebuah stesen minyak, melibatkan kedua-dua suspek dengan penumpang bas terbabit yang dipercayai penyokong Perak.

Difahamkan suspek berhenti untuk mengisi minyak motor di stesen minyak itu, selepas membaling batu ke arah bas berkenaan semasa di lebuh raya, namun berjaya dikesan penumpang bas terbabit sebelum bertindak untuk menahan kedua-dua suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan