WILAYAH - SARAWAK > BERITA

USAHA MALAYSIA LAHIRKAN PEMENANG ANUGERAH NOBEL AKAN DIPERHEBAT - MOSTI

24/06/2024 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Usaha Malaysia melahirkan pemenang Anugerah Nobel akan diperhebatkan dengan merancakkan lagi ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi membolehkan negara merealisasikan impian itu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Katanya, program mencari pemenang Anugerah Nobel itu merupakan harapan dan sasaran pihaknya dalam melahirkan saintis muda negara berpengalaman dan sebaris dengan saintis luar negara yang menerima anugerah berprestij tersebut.

“Sebelum kita hendak memasuki pencalonan anugerah tersebut, kita (MOSTI) kena pastikan,  kita ada ekosistem sains yang rancak. Sebab itu, Akademi Sains Malaysia (ASM) telah mengadakan pelbagai program dalam mencari pemenang berkenaan seperti  penganjuran syarahan, perbincangan saintifik dan sesi libat urus bersama bekas pemenang Anugerah Nobel,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Syarahan Pemenang Anugerah Nobel oleh penerima Anugerah Nobel ke-25 (2001), Sir Paul Nurse, di sini, hari ini. 

Chang berkata Kementerian Pengajian Tinggi menerusi universiti tempatan juga sedang  melaksanakan inisiatif dalam memupuk pemikiran Pemenang Anugerah Nobel, berpandukan laporan kajian ‘Achieving  Excellence in Science- The Nobel Path’. 

Selain itu, beliau berkata  MOSTI amat berdedikasi untuk mewujudkan persekitaran di mana penyelidikan dan inovasi yang berinovatif dapat berkembang maju sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang STI. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan