WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UTM KOMITED LAHIR BAKAT PENUHI KEPERLUAN PEMBANGUNAN, DIGITALISASI NEGARA

25/06/2024 07:40 PM

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa komited melahirkan bakat bagi memenuhi keperluan kapasiti pembangunan negara dalam mengejar kemajuan digitalisasi era ini. 

UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan atas tuntutan sebagai gedung ilmu sektor pendidikan tinggi negara yang bertanggungjawab membangunkan bakat intelektual dan berprestasi tinggi, universiti berkenaan telah menggerakkan pelbagai strategi dan inisiatif yang kini sudah mula dapat dilihat hasilnya.

Menurut kenyataan itu warga UTM telah mencapai pelbagai kejayaan signifikan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini termasuklah pelancaran Fakulti Kecerdasan Buatan yang pertama di Malaysia dan Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) yang direalisasikan pada 10 Mei lepas di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. 

“Mandat yang diberikan oleh negara dalam menerajui pembangunan bakat dalam bidang kecerdasan buatan ini menjadi refleksi kepada kemampuan UTM memenuhi keperluan ke arah aspirasi ini,” menurut UTM.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dalam kenyataan sama berkata UTM mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan (GE) yang mencapai 100 peratus bagi 2023 selain mengungguli kategori pendapatan premium serta berkemahiran tinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia.

“Keunggulan institusi ini juga terserlah melalui peningkatan penarafan global seperti THE Asia University Rankings 2024 pada kedudukan 85 dan QS World University Rankings 2025 pada kedudukan 181.

“QS World University Rankings by Subject 2024 turut mengiktiraf kursus yang ditawarkan oleh UTM sebagai antara 100 yang terbaik di dunia (Top 100),” menurut kenyataan itu.

UTM memaklumkan pencapaian itu mencerminkan ekosistem kukuh di universiti berkenaan dalam melaksanakan teras aktiviti utama universiti iaitu pengajaran, penyelidikan dan khidmat komuniti. 

Menurut UTM komitmen dan kredibiliti universiti itu terus diperkukuh dengan beberapa pencapaian yang turut diterjemahkan melalui pengiktirafan dan pelancaran program pada Majlis Bersama Naib Canselor yang berlangsung di universiti itu hari ini.

“Pelancaran berkenaan antaranya membabitkan Program Penilaian APEL.A T7 (Penyelidikan) dan APEL.A T8 (Kedoktoran) dan Program APEL.Q (Kelayakan Akademik) di Pusat APEL UTM, pelancaran Platform Sokongan Penyelidikan oleh Perpustakaan UTM serta Pusat Pemulihan Bencana (DRC) di UTMDigital, UTM Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, turut berlangsung acara penyampaian Dana Geran Endowment UTM-MTDC Signature Program kepada dua syarikat milik mahasiswa UTM iaitu Uninet Technology dan InspireTech Solutions daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Syarikat berkenaan masing-masing menerima geran bernilai RM20,000 dan RM 15,000 sebagai daya penujah dan penghargaan atas inisiatif pelajar dalam mewujudkan syarikat pemula berasaskan teknologi untuk meneroka penemuan baharu yang boleh dimanfaatkan kepada komuniti, industri dan negara.

UTM memaklumkan universiti itu akan terus menggembeleng tenaga dan usaha bagi melaksanakan perancangan strategi seterusnya dalam memastikan matlamat yang telah disasarkan dapat direalisasikan dengan jayanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan