SUKAN > BERITA

BAJC: MALAYSIA MARA KE SUKU AKHIR SELEPAS BELASAH KAZAKHSTAN 5-0

29/06/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2024 selepas membelasah Kazakhstan 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Yogyakarta, Indonesia hari ini.

Malaysia yang menewaskan Macau dengan keputusan sama pada perlawanan pembukaan semalam  meraih mata pertama menerusi perseorangan wanita Ong Xin Yee apabila mengatasi Alissa Kuleshova 21-3, 21-3.

Perseorangan lelaki Roslie Razeeq Danial meletakkan Malaysia mendahului 2-0 apabila menewaskan Otabek Kamilov 21-9, 21-6 manakala beregu wanita Nicole Chau-Carmen Ting memberikan mata kemenangan buat negara selepas mengatasi Alissa Kuleshova-Diana Namenova 21-3, 21-5.

Dalam perlawanan keempat, beregu lelaki Goh Yi Qin-Lok ​​Hong Qan tidak berdepan masalah untuk menumpaskan pasangan Aituar Romazanov-Arnur Tapishev, 21-8, 21-7.

Beregu campuran Kang Khai Xing-Noraqilah Maisarah Ramdan kemudian melengkapkan hari cemerlang pasukan negara dengan kemenangan bergaya ke atas Otabek Kamilov-Diana Namenova 21-2, 21-7 dalam masa 14 minit.

Dengan kemenangan itu, Malaysia mengekalkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan B dan akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan terakhir kumpulan esok.

Dua teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.

Tahun lepas skuad negara gagal melepasi peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Thailand juga di Yogyakarta.

Kali terakhir Malaysia memperoleh pingat dalam acara berpasukan campuran ialah pada 2018 apabila mereka membawa pulang gangsa dalam kejohanan di Jakarta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan