WILAYAH - SARAWAK > BERITA

90 POKOK BERISIKO TINGGI DIKENAL PASTI DI KUALA LUMPUR SEJAK BULAN LEPAS

26/06/2024 12:23 AM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Proses penebangan 90 pokok berisiko tinggi yang disyorkan untuk ditebang di sekitar Kuala Lumpur sedang dijalankan dan dijangka selesai seawal Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini, beliau berkata sebanyak 240 pokok turut dalam proses penilaian tahap risiko dan proses berkenaan dijangka selesai awal Ogos depan.

Menurut Dr Zaliha beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pokok Berisiko hari ini bagi mewujudkan kolaborasi dalam penyelidikan, pengetahuan, teknologi dan kepakaran dalam bidang pengurusan pokok teduhan di bandar raya ini.

“Mesyuarat melibatkan wakil dari Universiti Putra Malaysia, Persatuan Arboris Malaysia, Persatuan Arkitek Landskap Malaysia, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Malaysia.

"Keanggotaan task force ini turut akan diperluas kepada badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar," katanya.

Dr Zaliha berkata task force itu akan meneroka potensi untuk menubuhkan satu tabung dana amanah kawasan hijau bagi menggalakkan perkongsian awam-swasta melalui pendekatan penglibatan secara menyeluruh dalam meningkatkan kompetensi landskap hijau di samping mengekalkan peratusan kawasan hijau di Kuala Lumpur sebagaimana disasarkan oleh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

"Saya juga telah mengarahkan task force untuk meneliti pelan penggantian pokok dengan memberi fokus kepada Program Penanaman Satu Juta Pokok di Kuala Lumpur dan memberi perhatian kepada faktor-faktor seperti spesies pokok, ruang penanaman pokok, kedalaman akar dan lain-lain," katanya.

  -- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan