WILAYAH - UTARA > BERITA

REKA BENTUK BERI GAMBARAN MENGENAI PRODUK, PROSES DAN SISTEM - MRM

26/06/2024 02:02 PM

LANGKAWI, 26 Jun (Bernama) -- Aspek reka bentuk bukan sahaja merujuk kepada nilai estetika semata-mata, tetapi ia turut memberi gambaran mengenai produk, proses dan sistem yang memupuk lanjutan hayatnya, kecekapan dan daya tahan.

Pengerusi Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM) Junady Nawawi berkata adalah penting juga untuk meneroka prinsip yang boleh membawa kepada pengurangan jejak karbon, peningkatan ketahanan produk dan peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi dan ekuiti sosial.

"Kita sedar bahawa desakan cabaran alam sekitar ketika ini menuntut penyelesaian yang inovatif. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keperluan untuk menyepadukan pertimbangan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi perniagaan telah berkembang dengan pesat.

"Daripada mengurangkan jejak karbon kepada meningkatkan kesaksamaan sosial, organisasi di seluruh dunia menerima amalan mampan sebagai kewajipan moral dan kelebihan strategik.

“Di tengah-tengah pergerakan ini terletak reka bentuk, seni dan sains mencipta penyelesaian yang memenuhi keperluan manusia,” katanya dalam ucapan perasmian dan pelancaran Seminar Perkongsian Reka Bentuk Asia (ADS) 2024 di sini, hari ini.

Junady berkata memperkasa ESG melalui inisiatif reka bentuk di Malaysia melibatkan penyepaduan amalan mampan ke dalam pelbagai aspek reka bentuk, daripada seni bina dan perancangan bandar kepada reka bentuk produk dan tadbir urus korporat.

“Beberapa inisiatif dan pendekatan utama yang boleh menyumbang kepada matlamat ini ialah seni bina hijau dan reka bentuk bandar, yang menggalakkan penggunaan amalan bangunan hijau seperti Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) dan Indeks Bangunan Hijau (GBI) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata ekonomi kitaran dalam reka bentuk, yang mempromosi pendekatan ekonomi kitaran, di mana produk dan bahan digunakan semula atau dikitar semula, juga boleh menyumbang kepada matlamat ini.

Perwakilan dari lima negara - Malaysia, Korea, Filipina, Thailand dan Indonesia adalah sebahagian daripada ADS tahun ini, manakala ahli baharu ialah Vietnam dan Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan