WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PIALA FA : KIM SWEE MAHU SABAH FC BAWA BEKALAN GOL SELESA

27/06/2024 10:12 AM

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) -- Datuk Ong Kim Swee mahu Sabah FC membawa balik bekalan gol selesa pada perlawanan pertama suku akhir Piala FA, antara pasukan bimbingannya dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC itu berkata walaupun perlawanan pertama berkenaan tidak menentukan siapa yang layak ke peringkat seterusnya, namun ia sangat penting bagi pasukan Sabah FC mendapat keputusan yang positif, bagi menghadapi perlawanan timbal balik di Stadium Likas di sini dijadual 6 Julai nanti.

“Apa juga keputusan dalam pusingan pertama yang penting kita harus kembali dengan satu keputusan yang cukup positif dan kita kembali ke sini dengan semangat positif.

“Apa juga keputusan (perlawanan kedua) yang berlaku di sini nanti, akan menentukan siapa yang layak ke pusingan seterusnya, oleh itu kita memerlukan kelebihan bekalan gol pada perlawanan di sini nanti,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan di Padang Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), di sini malam tadi.

Beliau berkata segala persiapan setakat ini berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Perlawanan peringkat suku akhir Piala FA  pertama cukup penting, lebih-lebih lagi kita bermain di tempat lawan dan kita tidak boleh mengambil mudah kerana kita tahu pasukan Terengganu FC mempunyai rekod yang cukup baik, terutamanya di tempat sendiri.

“Terengganu kini bertambah baik dengan beberapa pemain baharu terutamanya pemain tempatan seperti Safawi Rashid, Akhyar Rashid dan Akram Mahinan. Mereka merupakan pemain yang berpengalaman dan kita harus berwasapada kepada semua pemain yang bakal diturunkan Terengganu FC,” katanya.

Beliau berkata pihaknya masih belum memutuskan siapa pemain yang bakal beraksi menentang Terengganu FC, disebabkan kecederaan beberapa pemain utama.

“Beberapa pemain mengalami kecederaan seperti Telmo Castanheira dan Gabriel Peres. Kita perlu melihat perkara ini sehingga esok (hari ini),” katanya. 

Perlawanan suku akhir saingan Piala FA antara Sabah FC dan Terengganu FC esok, akan menyaksikan skuad The Rhinos terlebih dahulu berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sabah FC layak ke Suku Akhir Piala FA selepas menewaskan kelab Liga A1 Semipro, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) dengan keputusan 7-0 dalam aksi pusingan pertama pada 15 Jun.

Manakala, Sang Penyu layak ke pusingan suku akhir Piala FA selepas menewaskan Perak FC dengan keputusan 2-1 pada 14 Jun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan