WILAYAH - UTARA > BERITA

NTW 2024: PESERTA TEROKA KEMAHIRAN IOT DALAM DUA JAM

28/06/2024 07:50 PM

BUTTERWORTH, 28 Jun (Bernama) -- Pendekatan Karnival Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 bagi menarik minat semua golongan termasuk murid sekolah dalam pelbagai bidang sains dan teknologi terbukti berkesan apabila peserta berjaya menguasai lebih 70 peratus pengetahuan asas Internet benda (IoT) dalam hanya dua jam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Azman Abdul Malik memberitahu Bernama beliau kagum dengan kebolehan dan minat yang ditonjolkan para peserta kursus IoT di Karnival NTW 2024 Wilayah Utara di Butterworth Arena, di sini.

“Apa yang biasanya saya ajar selama 16 jam, peserta hari ini hanya ambil masa dua jam untuk faham lebih daripada 70 peratus pengetahuan asas IoT, ini menunjukkan keberkesanan pendekatan NTW dalam memberikan pendedahan awal dan menyemai minat kepada semua golongan termasuk kanak-kanak,” katanya yang merupakan antara tenaga pengajar di karnival itu.

Peserta, Muhammad Nur Faris Rafini, 11, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Pokok Sena berkata dia datang tanpa sebarang pengetahuan mengenai IoT, namun selepas dua jam dia telah berjaya membina satu kod ringkas.

"Saya berjaya membina satu kod ringkas dan amat teruja belajar mengenai IoT. Dengan pendedahan hari ini, saya boleh pulang dan belajar sendiri dengan lebih mendalam," katanya kepada Bernama.

NTW 2024 peringkat wilayah utara berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung dan HRD Corp selaku penganjur bersama rakan kongsinya akan menawarkan 791 program latihan percuma di seluruh negeri di utara sepanjang minggu berkenaan termasuk 252 program di Pulau Pinang, Perak (304), Perlis (67) dan Kedah (168).

NTW 2024 yang berlangsung daripada 24 hingga 30 Jun, berhasrat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dalam perkembangan peribadi dan profesional.

Program itu menyasarkan untuk menawarkan lebih 60,000 kursus percuma di seluruh negara, yang dijalankan melalui pelbagai saluran kepada lebih 200,000 rakyat Malaysia dan program latihan itu dijangka mencatat lebih 700,000 jam latihan serta RM200 juta nilai latihan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan