WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK SUNGAI BAKAP: POLIS TERIMA SATU LAPORAN KES ROSAKKAN BAHAN KEMPEN

28/06/2024 06:30 PM

NIBONG TEBAL, 28 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menerima satu laporan berhubung kejadian merosakkan bahan kempen parti politik semalam, yang merupakan insiden pertama sepanjang tempoh kempan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata ekoran itu, polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan bahan-bahan kempen seperti bendera dan gegantung parti.

"Hari ini telah masuk fasa kedua tempoh berkempen bagi PRK DUN Sungai Bakap dan setakat ini polis terima satu laporan kejadian membabitkan merosakkan bahan kempen. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut.

"Sehingga hari ketujuh berkempen hari ini, polis keluarkan 11 lagi permit untuk kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra menjadikan keseluruhan permit yang diluluskan setakat in adalah 45 dan tiada permit yang ditolak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis selepas mendakwa ada pihak cuba mensabotaj kempen jentera Perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap dengan merosakkan gegantung dan bendera parti Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya Muhammad Fadzli Roslan mendakwa sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera yang dipasang di sekitar Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini telah diturunkan pihak tidak bertanggungjawab malah ada di antaranya yang dibuang di dalam longkang.

Sementara itu, Hamzah berkata dalam tempoh kempen berbaki lapan hari lagi sebelum hari pengundian Sabtu depan, pihaknya menasihati semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya.

Beliau berkata pihaknya juga sentiasa memantau aktiviti di media sosial untuk mengesan sebarang penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta tindakan tegas akan diambil.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan