WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TFC TIDAK JANGKA MENANG BESAR, BAWA BEKALAN SELESA KE SABAH

29/06/2024 10:24 AM

KUALA NERUS, 29 Jun (Bernama) -- Penolong ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali tidak menyangka anak buahnya mampu meraih kemenangan besar mengatasi Sabah FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Beliau memang mengharapkan kemenangan sebagai bekalan ke Sabah untuk aksi suku akhir kedua, namun agak terkejut apabila pemain mampu berada dalam kedudukan selesa pada separuh masa pertama dengan empat jaringan.

"Ketua jurulatih (Tomislav Steinbruckner) telah memberi kepercayaan 100 peratus kepada saya untuk mengendalikan perlawanan ini kerana beliau sedang menjalani kuarantin akibat COVID-19.

"Perkara pertama yang saya pesan kepada pemain ialah supaya jangan cepat hilang bola dan jangan letakkan tekanan walaupun bermain di laman sendiri.

“Alhamdulilah semua pemain memberi kerjasama dan rezeki kita menang besar pada malam ini (malam tadi)," katanya selepas aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Sabah FC di SSMZA malam tadi. 

Pada perlawanan itu, skuad Penyu melakar kemenangan 4-0, mengatasi skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee menerusi jaringan Ismaheel Akinade (dua gol), Manuel Ott dan Marin Pilj.

TFC akan berdepan Sabah di tempat lawan pada 6 Julai depan, dan Badrul Afzan berharap para pemain kekal fokus pada perlawanan itu nanti.

Sementara itu, Kim Swee berkata kekalahan Sang Badak pada aksi semalam menyebabkan laluan mereka untuk ke separuh akhir Piala FA menjadi sukar.

"Separuh masa kita dibolosi gol mudah akibat kelalaian dan kelekaan sendiri. Pertahanan tidak bermain seperti selalu menyebabkan TFC yang memiliki barisan serangan mantap menyempurnakan peluang dengan baik.

"Namun, kita tidak boleh berputus asa. Kita akan buat perancangan terbaik untuk aksi di Stadium Likas nanti. Pemain harus bangkit untuk cipta kemenangan besar," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan