BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKMAL RIZAL HARAP 'MAGIS 90 MINIT'

29/06/2024 10:27 AM

GEORGE TOWN, 29 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengharapkan ‘magis 90 minit’ di Stadium Darul Aman, Kedah minggu depan sekali gus mencerahkan peluang pasukan untuk mara ke separuh akhir Piala FA musim ini.

Akmal Rizal yakin anak buahnya mampu bangkit untuk beraksi lebih cemerlang meskipun berdepan dua kekalahan berturut-turut menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri pada saingan Liga Super minggu lepas dan suku akhir pertama malam tadi.

Beliau berkata kekalahan kepada KDA FC itu disebabkan kegagalan untuk menghasilkan jaringan walaupun telah bermain dengan baik dan kesilapan itu menyebabkan keputusan akhirnya berpihak kepada lawan.

"Apapun kita masih ada 90 minit. Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku...(Walaupun) ketinggalan satu gol tetapi kita akan kembali dengan perancangan untuk menyerang sehabis mungkin dan pada masa sama kita kena bertahan juga sebab Kedah mempunyai kualiti di barisan serangan.

"Perjuangan kami masih belum tamat dan akan bermain sebaik mungkin dalam 90 minit terakhir Jumaat depan untuk mendapatkan peluang layak ke separuh akhir," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pada masa sama, Akmal Rizal berharap penyerang import dari Brazil Rodrigo Dias yang dibelenggu kecederaan, akan pulih sepenuhnya dan kembali beraksi dalam kesebelasan utama pada perlawanan timbal balik di Alor Setar nanti.

Sementara itu, pengendali KDA FC Nafuzi Zain menyifatkan keputusan positif yang diperoleh pada perlawanan berkenaan adalah hasil komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain di atas padang.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu terlalu selesa dengan bekalan satu gol itu kerana yakin pasukan lawan akan memberikan tentangan hebat kerana mereka juga dalam misi memburu tiket ke pusingan seterusnya.

Beliau turut mengakui sedikit kecewa apabila semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak memihak kepada pasukannya selepas jaringan kedua pemain import Ebenezer Assiufuah dibatalkan kerana ofsaid namun akur dengan keputusan itu.  

"1-0 keputusan positif sebab tak tewas tapi kalau 2-0 selesa sikit. 

"Apapun, kita masih ada pusingan kedua jadi tidak boleh terlalu selesa dan yakin, yang penting (di pusingan kedua) nanti apa diharapkan adalah supaya semua pemain dapat konsisten dan menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk bermain dengan lebih baik seterusnya mara ke separuh akhir," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, pemain gantian Mohamad Hasbullah Abu Bakar menjadi penyelamat selepas berjaya menyepak masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-73 setelah penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan gagal menangkap kemas tendangan kapten pasukan KDA FC Sony Norde.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan