WILAYAH - SELATAN > BERITA

UDA SASAR JUALAN 100 UNIT KEDIAMAN ARECA TERRACE FASA 4B BANDAR UDA UTAMA

29/06/2024 04:40 PM

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- UDA Holdings Bhd (UDA) menyasarkan penjualan sebanyak 100 unit projek hartanah kediaman dua tingkat Areca Terrace Fasa 4B di Bandar UDA Utama di sini, kata Ketua Pegawai Kewangan kumpulan UDA Zahrin Zakaria.

Beliau berkata projek yang terletak di lokasi strategik, kejiranan mampan dan pesat membangun itu dikelilingi dengan pelbagai kemudahan dengan jarak hanya 10 kilometer daripada pusat beli-belah, bank, pusat rekreasi dan sekolah.

Beliau yang mewakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany pada majlis itu berkata kediaman berkenaan boleh diakses melalui lima jalan utama dengan lebuh raya yang dihubungkan ke destinasi tarikan pelancong seperti Legoland Malaysia, Puteri Harbour dan akses laluan ke Singapura.

"Produk yang menawarkan jumlah keseluruhan sebanyak 325 unit rumah ini merupakan projek fasa akhir kediaman jenis teres dua tingkat di Bandar UDA Utama. 

"Pembangunan Fasa 4 ini berkonsepkan reka bentuk moden dan gaya hidup sederhana. Fasa ini terbahagi kepada dua iaitu Fasa 4A berjumlah 172 unit telah siap dibina dan habis dijual manakala sebanyak 153 unit akan dibina untuk Fasa 4B," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek berkenaan di sini hari ini.

Zahrin berkata kediaman pegangan bebas berkeluasan 20x65 kaki dan saiz binaan 1,518 kaki persegi itu merangkumi kemudahan empat bilik tidur dan tiga bilik mandi, anjung untuk dua kereta serta ruang teres yang diperluaskan sepenuhnya mengikut saiz lot dengan harga bermula daripada RM634,086.

"Fasa 4B dengan ciri kediaman lapang dan selesa ini sesuai untuk keluarga, terutama pasangan baru berkahwin serta pembeli ruman pertama dan mereka yang inginkan penambahbaikan seiring dengan konsep penjenamaan UDA, LIFE Iaitu Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich," katanya.

Menurutnya, bersempena dengan pelancaran jualan hartanah itu, UDA turut bekerjasama dengan rakan strategiknya IKEA Tebrau menerusi penganjuran program IKEA MidSummer Carnival selain pameran rumah contoh lengkap dengan dekorasi dalaman yang ditaja sepenuhnya oleh IKEA Tebrau.

Sementara itu, beliau berkata UDA optimis untuk menumpukan kepada lebih banyak pembangunan hartanah di wilayah selatan terutama di Johor, dan antara projek pembangunan hartanah sedia ada adalah kediaman Pisonia Ville Pakej 3 dan UDA Heights Fasa 1C yang turut terletak di Bandar UDA Utama. 

Menurutnya UDA juga akan memperkenalkan dua lagi produk hartanah di Johor iaitu 21 BizHUB, lot komersial kedai dua dan tiga tingkat di lokasi yang sama dan kediaman Sedili Residensi, merangkumi rumah teres satu tingkat di Kota Tinggi.

Orang ramai yang berminat dengan Areca Terrace Fasa 4B atau produk hartanah UDA khususnya di Johor, boleh berkunjung ke Galeri Jualan UDA Land (South) Sdn Bhd atau menghubungi talian 07-237 4944 atau 1800-1800-89 dan 011-1722 6120.

Mereka juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web www.udaproperty.com.my,  www.uda.com.my, Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Bhd).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan