WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FITNAH TERHADAP TUNKU MAHKOTA ISMAIL : JOHOR BUAT LAPORAN POLIS

29/06/2024 05:29 PM

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan Johor membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah terhadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, yang mendakwa baginda terbabit dalam tuduhan rasuah berjumlah RM20 juta.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu yang boleh menggugat keharmonian dan kedaulatan negara.

“Kita melihat perkara ini satu cubaan hasutan jahat dalam menjatuhkan institusi raja dan merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab, biadap serta kurang ajar.

“Kerajaan negeri telah membuat laporan polis berkaitan perkara ini dan menggesa pihak berkuasa, untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit menyebarkan hasutan ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini. 

Pada masa sama, Onn Hafiz berharap agar isu itu tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan kedaulatan institusi diraja, yang mampu mengancam keharmonian negeri dan negara selain kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial mengenai kenyataan yang mendakwa Tunku Mahkota Ismail terbabit dalam tuduhan rasuah melibatkan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berjumlah RM20 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan