WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KES TEMBAK DI KLIA: SEBUTAN SEMULA KES HAFIZUL MILIKI SENJATA API 11 OGOS INI

30/06/2024 01:25 PM

KOTA BHARU, 30 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api. 

Hakim Zulkifli Abllah memaklumkan tarikh berkenaan adalah untuk pengurusan kes dan status permohonan tertuduh Hafizul Hawari, 38, untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sepang. 

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad. 

Peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman berkata prosiding hari ini juga adalah sebutan semula kes, namun pihaknya belum mendapat keputusan berhubung permohonan yang dibuat.

Pada prosiding berkenaan Nik Mohd Faris Syazwan memohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sepang kerana anak guamnya berhadapan dengan pertuduhan lain di Selangor, melibatkan kes cubaan membunuh.

"Tertuduh kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan kami menunggu kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor," katanya.

Pada 24 April lepas, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama, yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga Hafizul dituduh memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu berbeza mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketujuh pula, Hafizul didakwa memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta itu di pekarangan sebuah hospital swasta di sini, pada 2 petang, 15 April lepas.

Selain tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, pada 25 April lepas, Hafizul juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas dakwaan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, KLIA  pada pukul 1.09 pagi, 14 April lepas.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan