WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDUSTRI PERBANKAN DI LANDASAN TEPAT TUMBUH SEIRING ASAS DOMESTIK - ALLIANCE BANK

01/07/2024 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd yakin industri perbankan berada dalam kedudukan baik untuk berkembang dan mengemudi cabaran, seiring asas-asas domestik serba kukuh serta propek yang kekal kondusif terhadap pertumbuhan ekonomi mampan.

Pengerusi Ahmad Mohd Don dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam menerusi kenyataan bersama hari ini berkata atas alasan itu juga, Alliance Bank akan terus menyampaikan komitmen untuk mengutamakan pelanggan dengan cadangan nilai lebih besar dan transformasi digital inovatif.

Ini turut termasuk usaha untuk terus kekal bersesuaian dengan perubahan persekitaran operasi dalam memenuhi cita-cita pertumbuhan di bawah rancangan strategi Acceler8.

"Melalui strategi Acceler8, kami mempelbagaikan portfolio, mendapat akses kepada pasaran baharu dan segmen pengguna.

“Pada tahun kewangan 2024 (TK2024), kami berjaya meningkatkan keseluruhan bahagian pasaran pinjaman bank daripada 2.41 peratus bagi TK2023 kepada 2.58 peratus pada TK2024, didorong oleh peningkatan jumlah pinjaman bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengguna dan korporat,” kata mereka dalam laporan tahunan 2024 bank berkenaan.

Mereka turut menekankan bahawa Alliance Bank menumpukan usaha dalam memanfaatkan segmen pasaran baharu dan teras perniagaan, memperjuangkan aspek kelestarian selain memacu sinergi dan pembentukan nilai melalui usaha inovasi dan kerjasama.

Mengulas usaha menjadi jaguh serantau, mereka berkata bank itu memberi fokus mengukuhkan kehadiran pasaran serta jangkauan di serata negara, terutama di kawasan koridor pertumbuhan ekonomi seperti Pulau Pinang dan Sarawak bagi TK2024.

“Seiring usaha menjadi Bank Seumur Hidup pilihan bagi pelanggan, perniagaan dan komuniti tempatan yang mendapat khidmat kami, bank ini berjaya mencatat pertumbuhan 48 peratus tahun ke tahun bagi deposit dan 18 peratus pinjaman di serata negeri-negeri itu,” kata mereka.

Selain itu,  Alliance Bank juga akan terus mengukuhkan lagi segmen perniagaan teras dalam georgrafi terbabit, termasuk menyenaraikan Johor sebagai antara bidang tumpuan utamanya pada TK2025.

“Rancangan pengembangan serantau kami berjalan dengan jaya serta lancar menerusi pembukaan cawangan baharu di Saradise, Kuching dan tidak lama lagi di Jalan Kelawai, Pulau Pinang,” kata mereka.

Bank itu turut menjadikan TK2025 sebagai peluang untuk terus melengkapkan dan meningkatkan rangkaian cawangan dengan prospek jenama bank itu yang lebih segar dalam usaha mengukuhkan kedudukannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan