WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAMBUTAN HARI AFRIKA 2024 DI MALAYSIA FOKUS KEPADA KEBANGKITAN BENUA

03/07/2024 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Hari Afrika 2024 diraikan di Malaysia tahun ini dengan tema "Mempromosikan Peluang Perdagangan dan Pelaburan Afrika-Malaysia" yang bertujuan memperkenalkan Afrika hari ini yang semakin bangkit dan menawarkan pelbagai peluang pelaburan kepada dunia.

Pemangku Dekan Ketua Perwakilan Afrika di Malaysia, David E. Malcomson, yang juga Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia, berkata naratif lama mengenai Afrika pada 1980-an di mana benua itu dilabel sebagai tiada harapan dan tempat untuk peperangan, penyakit dan jenayah mesti diubah.

"Pengetahuan mengenai Afrika dalam kalangan rakyat Malaysia masih agak rendah. Orang ramai mesti melupakan imej Afrika yang lepas. Kini, sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan kepada Afrika baharu.

"Malaysia dan Afrika adalah relevan antara satu sama lain secara strategik, terutamanya apabila Malaysia mempengerusikan blok ASEAN tahun depan," katanya ketika ditemui di pejabatnya pada Selasa sempena sambutan Hari Afrika esok.

Menurut Malcomson, negara-negara Afrika kini menyasarkan untuk mempromosikan pelbagai peluang pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya dalam bidang pendidikan, pelancongan, pembangunan kemahiran dan teknologi digital.

Beliau berkata sambutan Hari Afrika ke-61 bertepatan dengan pengumuman yang dibuat oleh AirAsia X pada Isnin mengenai penerbangan langsung antara Kuala Lumpur dan Nairobi, Kenya bermula 15 November.

Syarikat penerbangan Afrika lain yang membuat penerbangan langsung ke Kuala Lumpur ialah Air Mauritius dan Ethiopian Airlines, yang terbang dari Addis Ababa.

Menurut beliau, Afrika Selatan juga sedang berusaha untuk mengembalikan penerbangan langsung dari negara itu ke Kuala Lumpur.

Hari Afrika adalah peringatan tahunan penubuhan Pertubuhan Perpaduan Afrika yang dibentuk pada 25 Mei, 1963. Ia kemudiannya diubah menjadi Kesatuan Afrika pada 9 Julai 2002.

Sambutan Hari Afrika itu diadakan untuk meraikan pencapaian dan peluang Afrika, sambil merenung cabaran dan penyelesaian kepada isu-isu berkaitan, termasuk pencapaian keamanan, keselamatan dan pembangunan benua itu.

Ditanya mengapa Hari Afrika di Malaysia hanya disambut pada Julai, beliau berkata tidak mudah untuk mengumpulkan kesemua 19 utusan Afrika pada satu masa.

Selain Afrika Selatan, Hari Afrika turut disambut oleh 18 lagi perwakilan di Malaysia iaitu Algeria, Mesir, Eswatini, Ghana, Guinea, Kenya, Libya, Mauritius, Maghribi, Namibia, Nigeria, Senegal, Somalia, Sudan, Tanzania, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.

Sambutan Hari Afrika esok akan merangkumi makanan, muzik dan persembahan kebudayaan dari 19 negara Afrika.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan