WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIRI 'JELAJAH TEAM MAS ROAD TO PARIS 2024' DAPAT SAMBUTAN HANGAT

01/07/2024 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Siri 'Jelajah Team MAS Road To Paris 2024' yang berakhir hujung bulan lepas menerima sambutan meriah apabila berjaya menarik penyertaan hampir 15,000 pelajar meliputi 23 sekolah seluruh negara.

Lebih menarik sebanyak 23 sekolah itu ialah sekolah atlet negara yang akan menggalas cabaran ke temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Menerusi kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, MSN (Majlis Sukan Negara) telah mengadakan kempen sokongan jutaan harapan untuk Kontinjen Malaysia yang akan menggalas cabaran ke  Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya sesi kuiz, tayangan video dan cabutan bertuah menerusi ucapan kreatif kepada atlet-atlet negara,” menurut kenyataan MSN hari ini.

Daripada 23 sekolah itu, tujuh daripadanya dalam Zon Utara diikuti Zon Timur dan Zon Selatan masing-masing empat,  Zon Tengah (lima) dan tiga sekolah di Sarawak.

Sementara itu, MSN memaklumkan jelajah itu antara lain bertujuan memberi penghargaan kepada sekolah yang melahirkan para jaguh di persada dunia seterusnya memberi galakan dan dorongan untuk melahirkan lebih ramai jagoan pada masa hadapan.

Selain itu, ia dapat memberi pengetahuan kepada para pelajar mengenai perkembangan terkini sukan negara dan mengetahui persediaan atlet menjelang dua temasya sukan terbesar dunia.

“Kempen bertemakan ‘Kita Semua Team MAS’ ini juga bertujuan mendapatkan sokongan dan penglibatan masyarakat kepada Kontinjen Negara di samping menyemai semangat ‘sense of belonging’ dalam kalangan rakyat Malaysia bersempena temasya sukan terbesar dunia itu.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan kepada Team MAS dengan menandatangani poskad sokongan jutaan harapan untuk atlet negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 yang berlangsung baru-baru ini, “ menurut kenyataan itu.

Kempen Team MAS yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada 6 Jun lepas itu ialah satu gerakan nasional sebagai tanda sokongan kepada atlet negara.

Sukan Olimpik akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos manakala Sukan Paralimpik bermula 28 Ogos hingga 8 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan