WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NSFC BUKA PUSAT FISIOTERAPI KEPADA ATLET, ORANG AWAM

03/07/2024 10:19 PM

SEREMBAN, 3 Julai (Bernama) -- Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) hari ini merasmikan pembukaan pusat fisioterapi kelab itu dikenali sebagai NSFC Sports Physio Centre, di Wisma Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) di sini. 

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC Faliq Firdaus berkata pusat berkenaan yang turut dibuka kepada orang awam, menyediakan fasiliti terbaik kepada para pemain NSFC selain menjadi antara cabang perniagaan untuk kelab bola sepak itu.

“Pusat fisioterapi ini disediakan untuk memenuhi keperluan atlet daripada pelbagai peringkat, sama ada profesional atau amatur yang ingin memulihkan kecederaan. Selepas ini, semua pemain profesional NSFC akan menjalani rawatan rehabilitasi di pusat ini.  

“Pusat ini juga adalah sebahagian daripada usaha NSFC untuk memperbaharui pelan perniagaan kelab di samping mendekatkan diri dengan khalayak ramai,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pusat berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang juga Presiden PBNS dan Pengerusi NSFC merasmikan pusat fisioterapi itu yang menelan kos RM50,000. 

Faliq berkata pusat yang merupakan hasil usaha sama NSFC dengan PhysioDoc itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam memastikan kelestarian kelab dan kesejahteraan pemain terus terjaga.

Beliau berkata perkhidmatan yang disediakan merangkumi fisioterapi, urutan sukan dan bekam selain dilengkapi kemudahan terkini dan tenaga pakar berpengalaman untuk memastikan setiap individu mendapat layanan terbaik.

Sempena pembukaan itu, orang ramai ditawarkan diskaun sehingga 20 peratus untuk khidmat urutan sukan dan fisioterapi bermula 4 hingga 15 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan