WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK SG BAKAP : GABUNGAN GERAK KERJA BN-PH BERI PELUANG CERAH KEPADA CIKGU JOOHARI

02/07/2024 11:59 PM

KEPALA BATAS, 2 Julai (Bernama) -- Gabungan gerak kerja yang baik dan kempen menyeluruh jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), memberi peluang cerah kepada kemenangan calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu ini.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry berkata memasuki pusingan akhir kempen PRK itu minggu ini, jentera BN-PH telah bergerak secara menyeluruh di kawasan DUN Sungai Bakap, untuk mendekati seramai mungkin pengundi bagi membantu kempen calon PH itu.

“PH dan BN masing-masing mempunyai pengalaman, strategi dan taktikal, jika digabungkan kedua-dua ini, kita berkeyakinan ia akan beri pulangan yang baik kepada Cikgu Joo (Joohari),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Sungai Bakap berkata sepanjang tempoh berkempen, jentera BN tidak menggunakan pendekatan angkuh, melemparkan kebencian atau menceritakan perkara fitnah kepada pihak lawan.

“Sebaliknya kita gunakan sebaik-baiknya (dalam kempen) untuk menceritakan kepada rakyat kenapa perlu memilih calon Kerajaan Perpaduan, dan saya juga yakin pengundi di Sungai Bakap telah matang dan akan memilih calon terbaik iaitu Cikgu Joo untuk mewakili mereka nanti, yang merupakan anak tempatan dan mempunyai kualiti,” katanya.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK itu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding 22 Jun hingga 11.59 malam, Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan