WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUNGAI JAWI LUBUK KAKI PANCING LEPAS 'GIAN'

03/07/2024 06:50 PM

Oleh Lucia Terey Anak John

NIBONG TEBAL, 3 Julai (Bernama) -- Seawal 8 pagi, Jeti Nelayan Changkat di Sungai Jawi di sini yang terletak antara Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dan Jawi sudah mula kelihatan sibuk dengan deretan kereta pengunjung yang tidak putus memasuki pekarangan jeti berkenaan. 

Namun tidak seperti pengunjung biasa, kehadiran mereka yang datang dari seluruh pelosok tempat termasuk dari Sungai Bakap bukanlah calang-calang kerana mereka merupakan geng ‘kaki pancing’ yang ingin melepaskan 'gian' menangkap ikan.

Ketua Unit Nelayan Changkat Mohamad Shafie A. Rahim berkata kekayaan hasil laut di sekitar kawasan jeti itu terutama berdekatan sangkar ikan Sungai Udang bukanlah sesuatu yang asing bagi pemancing, sehinggakan ada yang menggelarnya ‘syurga’ pelbagai jenis ikan termasuk siakap, ikan merah dan jenahak di kawasan sebelah utara. 

Beliau berkata kelebihan itu sekali gus membuka ruang kepada penduduk tempatan dan persatuan nelayan di situ untuk mengusahakan industri agropelancongan termasuk menawarkan perkhidmatan sewa bot kepada kaki pancing.

“Kami (Persatuan Nelayan Changkat) menawarkan perkhidmatan bot sewa ini sejak 10 tahun yang lalu. Bermula hanya dua buah, ia kemudian bertambah kepada kira-kira 30 bot ketika ini, menjadikan ia satu daripada pendapatan tetap kepada kami (nelayan),” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurut Mohamad Shafie, bot itu kebiasaannya disewa antara RM300 hingga RM380 sehari, bergantung kepada saiz dengan setiap daripadanya boleh memuatkan empat hingga enam orang.

“Tempahan (bot) akan bertambah setiap kali awal dan hujung bulan mengikut kalendar Islam iaitu antara 5 hingga 12 hari bulan dan dari 18 hingga 25 hari bulan kerana tarikh-tarikh ini dianggap hari yang elok untuk keluar memancing. 

“Bot akan bertolak seawal 8 pagi dan kembali semula pada 5 petang. Kami tidak membenarkan aktiviti memancing dilakukan pada waktu malam memandangkan terdapat risiko ombak laut bergelora pada waktu malam, tambahan radius kawasan memancing yang dibenarkan pun hanya kira-kira tiga kilometer dari jeti,” katanya yang pernah bekerja di kilang berdekatan.

Selain itu, Mohamad Shafie berkata bagi kaki pancing dari Sungai Bakap yang mencari rezeki di kawasan itu, mereka akan menjual hasil tangkapan di kampung-kampung berhampiran atau di Pasar Jeti Sungai Udang namun jika tidak banyak, mereka akan membawanya pulang untuk keperluan sendiri. 

“Sungai Bakap tidaklah jauh dari sini (Changkat), hanya kira-kira tujuh kilometer, jadi tidak hairanlah kalau ada mereka yang nak datang, walaupun di kawasan mereka sendiri ada kekayaan hasil sungai seperti udang galah,” katanya.

Sementara itu, seorang kaki pancing, Shamsudin Omar, 56, yang sempat ditemui Bernama berkata dia sanggup datang dari Gombak, Selangor untuk mencuba sendiri kelainan memancing di kawasan itu yang dianggap dapat memuaskan keinginan setiap penggemar aktiviti itu.

“Saya dapat tahu ‘lubuk’ ini dari seorang Youtuber yang juga merupakan kaki pancing. Jadi beberapa hari yang lepas, saya berbincang dengan kawan-kawan untuk mencuba nasib di sini dan hari ini (Isnin), kami akhirnya sampai dengan membawa bermacam-macam bekalan termasuk umpan memancing menggunakan udang kecil,” katanya.

Sungai Bakap yang merupakan antara tiga DUN dalam Parlimen Nibong Tebal kini menjadi tumpuan kerana akan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 6 Julai ini susulan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

PRK itu menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan