WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBAKARAN DI GUDANG PERABOT BANDAR BEKASI RAGUT LIMA NYAWA

03/07/2024 06:04 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 3 Julai (Bernama) -- Kebakaran dahsyat di sebuah gudang perabot di Bandar Bekasi telah meragut lima nyawa - sepasang suami isteri dan dua anak serta seorang anak saudara mereka.

Saksi kejadian melaporkan kebakaran bermula awal pagi Rabu di Jalan Tugu di Kampung Jatikramat, Daerah Jatiasih, Bandar Bekasi, Jawa Barat.

Penduduk tempatan, Eka, menggambarkan bagaimana api semakin marak dengan cepat, dipicu oleh bahan mudah terbakar seperti plastik dan penyapu, meliputi gudang dan kawasan kediaman berdekatan.

“Saya mendengar jeritan meminta tolong dari dalam,” kata Eka kepada portal berita tempatan Sindonews, menceritakan usaha untuk membantu yang terhalang oleh intensiti kebakaran.

Mangsa yang dikenali sebagai Pengurus Gudang, Suryan dan Nelly, bersama anak-anak mereka Azzahra dan Arssyla, serta anak saudara mereka Endah, tidak dapat menyelamatkan diri dari api yang merebak dengan pantas.

Walaupun terdapat usaha pekerja untuk menyelamatkan keluarga itu, mereka tidak dapat sempat berbuat demikian.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Bekasi, Namar Naris, mengesahkan semua mangsa terperangkap di dalam bilik mandi yang terletak di belakang gudang.

“Kelima-lima orang ini berada di dalam bilik mandi, dan malangnya, disebabkan asap tebal, mereka tidak dapat diselamatkan,” katanya, sambil menambah bahawa siasatan mengenai punca kebakaran sedang dijalankan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan