WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WANITA MANGSA PALING RAMAI TERKORBAN DALAM TRAGEDI REMPUHAN DI INDIA

03/07/2024 06:21 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 3 Julai (Bernama) -- Kebanyakan mangsa rempuhan di sebuah perhimpunan keagamaan Hindu di negeri Uttar Pradesh, utara India pada Selasa adalah wanita, menurut senarai kematian.

Kira-kira 250,000 orang berkumpul di sebuah kampung di kawasan Sikandra Rao di daerah Hathras, kira-kira 180 km dari New Delhi, untuk mendengar seorang guru kerohanian yang dikenali sebagai "Bhole Baba" berceramah.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan mengesahkan kematian sekurang-kurangnya 121 orang, termasuk kanak-kanak, dan mayat mereka dihantar ke bandar Agra, Aligarh, Etah dan Hathras untuk bedah siasat.

Ramai mangsa sedang dirawat di bandar berhampiran, termasuk di hospital Kolej Perubatan Jawaharlal Nehru, Aligarh Muslim University.

Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath pada Selasa berkata rempuhan berlaku pada waktu petang apabila pengikut berasak-asak untuk menyentuh penceramah selepas program berakhir.

Adityanath pada Rabu telah pergi ke Hathras dan melawat mangsa yang cedera di hospital.

Kerajaan mengumumkan pampasan sebanyak 200,000 rupee (RM11,300) kepada keluarga setiap mangsa yang meninggal dunia manakala setiap orang yang cedera akan menerima sejumlah 50,000 rupee.

Media tempatan yang merujuk saksi melaporkan keadaan menjadi huru hara ketika orang ramai bergegas meninggalkan tempat itu.

Ramai wanita dan kanak-kanak jatuh dan dihimpit oleh orang ramai yang memenuhi kawasan itu.

"Beberapa orang yang cuba mengambil berkat 'Baba', terjatuh ke dalam lubang yang dalam dan rempuhan berlaku. 

"Orang ramai terus lalu lalang dan memijak-mijak satu sama lain. Ramai orang mati selepas terjatuh ke dalam lubang itu," kata seorang peserta dalam laporan di laman sesawang Times of India.

Lebih 250,000 orang menghadiri acara itu walaupun penganjur pada awalnya menjangkakan kira-kira 80,000 orang akan hadir.

Rempuhan di Hathras merupakan satu daripada bencana terburuk seumpamanya di India.

Pada September 2008, lebih 220 orang terbunuh dalam rempuhan di luar sebuah kuil di Mehrangarh Fort di Jodhpur di negeri Rajasthan, manakala pada Ogos tahun yang sama, sekurang-kurangnya 146 orang terbunuh di kuil Naina Devi di daerah Bilaspur di Himachal Pradesh.

Dalam bencana lebih terkini, 36 orang maut apabila bumbung yang menutupi telaga lama di sebuah kuil runtuh semasa upacara menandakan perayaan Hindu Ram Navami di Indore di negeri Madhya Pradesh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan