WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROTON JUAL 10,999 UNIT KENDERAAN PADA JUN, TEMPAT KEDUA DALAM JUALAN AUTOMOTIF

03/07/2024 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) menjual sebanyak 10,999 unit kenderaan pada Jun, domestik dan eksport untuk mengekalkan kedudukan kedua dalam jualan automotif, pada waktu jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) yang perlahan.

Proton berkata jumlah jualan pada bulan tersebut terjejas oleh penutupan kilang selama seminggu yang dirancang untuk peningkatan operasi berjadual.

“Secara keseluruhan, syarikat mencapai pegangan pasaran sebanyak 19.1 peratus pada bulan lepas, sama dengan angka pegangan pasaran tahun sehingga kini. Jumlah jualan untuk separuh pertama tahun ini ditutup pada 73,696 unit,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Proton, TIV untuk Jun dijangka terendah untuk mana-mana bulan pada tahun ini dengan anggaran 57,700 unit terjual, lebih rendah daripada April yang sebelum ini digelar sebagai bulan terendah akibat cuti perayaan yang panjang. 

“Secara kumulatif, angka TIV untuk enam bulan pertama 2024 dianggarkan sebagai 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih daripada tempoh yang sama pada 2023 ketika TIV mencapai rekod tertinggi yang baharu,” katanya.

Katanya Jun merupakan bulan yang sibuk bagi Proton selepas syarikat memberi tumpuan kepada langkah-langkah strategik yang akan memberikan hasil untuk jangka pendek dan panjang.

“Selain melancarkan jenama kenderaan elektrik (EV) e.MAS, Proton juga meraikan pelancaran kenderaan kelima juta daripada barisan pengeluarannya dan melancarkan Proton X50 baharu, model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular dengan menampilkan ciri-ciri lebih daripada 20 peningkatan bunyi, getaran dan kelasakan,” katanya.

Proton berkata hasilnya adalah peningkatan serta-merta dalam jumlah jualan Proton X50 apabila ia kembali ke tangga teratas dalam kelas SUV segmen B dengan 1,711 unit terjual, prestasi terbaik selama tiga bulan.

“Jumlah pengeluaran kenderaan dijangka meningkat selepas peningkatan operasi berjadual, justeru jumlah jualan juga dijangka melonjak pada bulan-bulan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata pasaran menjangka perkembangan lebih positif daripada Proton untuk separuh kedua tahun ini berikutan pelancaran e.Mas.

Beliau berkata pelancaran terbaharu X50 2024 memenuhi permintaan yang kukuh daripada pasaran.

“Model ini tetap menjadi pilihan terbaik bagi mereka yang mencari SUV segmen B dan kami mengharapkan reaksi yang sama daripada pasaran apabila kami mengumumkan Proton X70 2025 yang mengalami pembaharuan yang besar,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan