WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK SUNGAI BAKAP: POLIS BUAT PERSIAPAN RAPI MENJELANG HARI PENGUNDIAN

03/07/2024 09:00 PM

NIBONG TEBAL, 3 Julai (Bernama) -- Polis Pulau Pinang melakukan persediaan rapi bagi menjaga ketenteraman awam dan memastikan kelancaran pada hari pengundian Sabtu ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata antara langkah yang diambil termasuk menempatkan semua bentuk penugasan di seluruh pusat pengundian dan tempat pengumuman pengundian.

“Selain itu, untuk persediaan menghadapi situasi seperti insiden rusuhan, beberapa langkah akan diambil dengan menempatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan pasukan tempur ringan di lokasi yang strategik.

“Langkah turut diambil dengan memasang sistem kamera pengawasan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi di samping meningkatkan rondaan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai langkah persediaan, pihaknya juga akan mewujudkan tempat perlindungan sementara di lokasi strategik untuk melindungi orang kenamaan ketika rusuhan (sekiranya berlaku).

Sehubungan itu, Hamzah mengingatkan parti yang bertanding dan penyokong supaya menjaga keamanan dan tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan atau kekacauan semasa tempoh pilihan raya.

“Hormati pandangan dan hak penyokong parti lain. Elakkan daripada membuat kenyataan yang bersifat provokasi atau menghina serta gunakan media sosial secara bijak dan bertanggungjawab,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan