WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ALIBABA.COM SERU RAKYAT MALAYSIA SERTAI ANUGERAH KEL YANG BARU DIPERKENALKAN

03/07/2024 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Platform e-dagang untuk perniagaan-ke-perniagaan (B2B) global yang terkemuka, Alibaba.com telah memperkenalkan Anugerah Peneraju E-dagang Utama (Anugerah KEL), yang direka bagi mengiktiraf pembekal e-dagang terunggul di rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Alibaba.com dalam satu kenyataan berkata Anugerah KEL, yang akan dilancarkan buat pertama kali minggu ini akan berlangsung sehingga November depan, bertujuan menampilkan pembekal yang layak dari tujuh negara iaitu India, Indonesia, Malaysia, Pakistan, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Pembekal ini akan bersaing melalui pusingan kebangsaan dalam pasaran masing-masing mulai Ogos hingga Oktober. Sepuluh peserta terbaik pusingan tersebut akan beraksi di peringkat akhir yang akan diadakan di Vietnam menjelang November, yang mana tiga daripada peserta paling cemerlang di kalangan mereka akan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah KEL,” katanya.

Para peserta perlu mempamerkan penggunaan Alibaba.com mereka dalam membangunkan serta mengembangkan usaha eksport mereka, bersama-sama dengan strategi yang dipakai bagi menonjol dalam pasaran global.

“Penilaian Anugerah KEL akan berdasarkan kepada kandungan dan kreativiti pembentangan, keberkesanan dalam komunikasi termasuk persembahan jenama peribadi, pemahaman mendalam tentang platform Alibaba.com selain kebijaksanaan dalam mengemukakan soalan dan pelan untuk memberi impak termasuk inspirasi kepada orang lain dalam komuniti e-dagang.

“Persaingan adalah terbuka kepada pemilik, kakitangan utama dan pengurus syarikat yang menjual di Alibaba.com dengan penarafan minimum dua bintang serta kehadiran aktif di platform selama sekurang-kurangnya enam bulan,” kata kenyataan itu.

Anugerah KEL bertujuan untuk mengumpulkan pembekal terkemuka di seluruh rantau serta memupuk pembelajaran dan penglibatan bersama selain menawarkan platform kepada peserta yang mahu mengembangkan pengaruh mereka dalam komuniti pembeli termasuk pembekal global mereka, meningkatkan keterlihatan mereka dan membuka pintu kepada peluang kerjasama.

“Peserta akan berpeluang mendapat akses kepada sesi latihan yang diterajui oleh pakar-pakar Alibaba.com yang direka untuk melonjakkan kecekapan operasi mereka di platform serta membangunkan kemahiran insaniah mereka yang agak kritikal kepada kepimpinan, pengucapan awam dan pengurusan pasukan.

"Pembekal cemerlang dalam pertandingan ini akan layak mendapat faedah eksklusif seperti slot pameran produk yang dipertingkatkan dan bonus pengiklanan kata kunci bagi meluaskan pendedahan produk mereka di Alibaba.com," katanya.

Sementara itu, Ketua Asia Selatan dan Asia Tenggara Alibaba.com, Roger Luo berkata Anugerah KEL bertujuan untuk berfungsi sebagai platform penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mempamerkan kepintaran serta inovasi perniagaan mereka sambil memupuk kerjasama dan pembelajaran merentas pasaran.

“Dengan menonjolkan kisah kejayaan para peserta, kami mahu memotivasikan banyak PKS lain yang terlibat dalam perdagangan global untuk mencapai kejayaan baharu di pentas antarabangsa,” katanya.

Tiga peserta terbaik Anugerah KEL akan menerima anugerah tambahan iaitu lawatan "Dream Trip"” yang ditaja ke ibu pejabat Alibaba.com di Hangzhou, China.

Semua pemenang dari pusingan negara masing-masing akan dilantik sebagai pensyarah Alibaba.com yang membolehkan mereka untuk menyampaikan pandangan serta pengalaman mereka dengan rakan pembekal dari rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Mereka yang berminat boleh mendaftar mulai sekarang hingga akhir Julai tahun ini https://survey.alibaba.com/apps/zhiliao/g9Iw8Uien.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan