WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AUDIT: ANGGARAN KOS INFRASTRUKTUR RTS LINK NAIK KEPADA RM5.245 BILION SETAKAT 31 DIS 2023 

04/07/2024 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Anggaran kos infrastruktur projek Rapid Transit System Link (RTS Link) meningkat sebanyak 29.9 peratus atau RM1.207 bilion kepada RM5.245 bilion setakat 31 Dis 2023 berbanding RM4.038 bilion anggaran kos asal pada Januari 2018.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/24 yang dikeluarkan hari ini, semakan audit mendapati peningkatan itu antaranya disebabkan penambahan skop kerja depoh daripada penyenggaraan ringan kepada penyenggaraan berat, kontrak baharu Skim Penyuraian Trafik dan pembinaan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Selain itu, kerja infrastruktur tambahan bagi fakad ikonik dan struktur estetika jejambat, kos tambahan serahan tanah, serta kos infrastruktur tambahan bagi pembinaan parkir dan cerucuk tambahan di Kompleks ICQ turut menjadi penyebab kenaikan kos.

 “Penyaluran sumbangan kerajaan bagi projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) dan projek RTS Link telah dibelanjakan mengikut projek infrastruktur awam yang diluluskan.

“Bagaimanapun, peningkatan kos projek boleh mempengaruhi kedudukan kewangan semasa kerajaan berbanding manfaat kepada pemegang taruh dan nilai terbaik terhadap projek,” menurut laporan itu.

Projek RTS Link adalah rangkaian tren ulang-alik sepanjang kira-kira 4km panjang yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura, merangkumi laluan di antara dua stesen iaitu di Bukit Chagar, Johor Bahru, Malaysia dan satu di Woodlands North, Singapura

Maklum balas daripada pemaju projek dan pemilik aset, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), menyatakan peningkatan kos projek tidak dapat dielakkan kesan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan kenaikan harga bahan mentah di seluruh dunia.

Terdapat juga perubahan skop untuk memastikan penyelesaian trafik secara holistik serta kos pengambilan tanah.

Pada 24 Julai 2020, kerajaan bersetuju untuk membiayai pembangunan projek RTS Link menggunakan Perbelanjaan Pembangunan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) dan diselaraskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Klausa 10.1 Perjanjian Pengurusan dan Pembangunan Projek (PDMA) menetapkan kerajaan hendaklah membiayai pembangunan infrastruktur RTS Link mengikut anggaran kos projek iaitu RM5.245 bilion seperti yang dinyatakan dalam klausa 6.3.

Penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan secara suku tahunan berdasarkan permohonan daripada Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) -- anak syarikat MRT Corp yang merupakan pemaju dan pemilik infrastruktur awam untuk bahagian Malaysia bagi projek RTS Link.

Semakan audit turut mendapati, setakat 31 Dis 2023, MOT telah menyalurkan secara suku tahunan sejumlah RM1.944 bilion atau 37.1 peratus daripada keseluruhan sumbangan yang diluluskan iaitu RM5.245 bilion kepada MRTS.

Sejumlah RM1.553 bilion atau 29.6 peratus daripada sumbangan yang diluluskan telah dibelanjakan bagi pembayaran kepada kontraktor dan perunding.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan