WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM LATIHAN, PENERIMAGUNAAN E-DAGANG LEBIHI SASARAN DITETAPKAN

04/07/2024 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Pengurusan program pembangunan keusahawanan e-Dagang di bawah empat kementerian dilaksanakan dengan baik meliputi latihan serta pemberian insentif, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan itu menyebut beberapa program berkaitan latihan dan penerimagunaan e-Dagang di bawah  Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Digital, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melebihi sasaran ditetapkan.

Program latihan e-Dagang disediakan melalui kementerian dan agensi pelaksana bertujuan melengkapkan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan asas yang diperlukan bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Semakan audit mendapati bilangan PMKS yang dilatih mengenai e-Dagang telah mencapai sasarannya sehingga 2020 iaitu sebanyak 378,487 (261 peratus) manakala pencapaian bagi 2021 hingga 2023 adalah  306,003 (91.3 peratus). Bagi menerima guna e-Dagang, pencapaian Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 1.0 adalah 489,958 (181.5 peratus) dan NESR 2.0 adalah 1.02 juta (189.2 peratus).

"Selain itu, semakan audit terhadap tujuh program yang berkaitan latihan dan penerimagunaan e-Dagang mendapati kesemua program telah melebihi sasaran ditetapkan. Ini adalah selaras dengan penemuan Laporan NESR 2.0 eCommerce as the Engine for Catalytic Growth for Businesses in Malaysia yang dikeluarkan Ernst & Young," menurut laporan itu.

Sementara itu menurut LKAN, pembangunan platform e-Dagang Mymall di bawah KUSKOP belum mencapai objektif sepenuhnya selain terdapat kelemahan dalam pengurusan kontrak serta operasi. 

Berdasarkan semakan audit terhadap kontrak perjanjian melibatkan MyMall mendapati tiada elemen menjamin kepentingan kerajaan dalam surat pelantikan yang dikeluarkan KUSKOP kepada syarikat terlibat seperti spesifikasi, tempoh perjanjian, jadual pembayaran dan klausa pemilikan kod sumber.

Selain itu kontrak perjanjian antara KUSKOP dan syarikat tersebut lewat disedia dan dimuktamadkan.

Justeru KUSKOP disaran memastikan kontrak perjanjian dimuktamadkan dengan segera dan mengambil tindakan proaktif bagi memastikan pengintegrasian platform MyMall dengan platform ODELA dapat dibuat mengikut tempoh ditetapkan.

"KUSKOP juga hendaklah menambah baik pengurusan operasi dengan memastikan syarikat yang dilantik sebagai pengendali gerbang pembayar merupakan syarikat berlesen dengan Bank Negara Malaysia dan pengasingan dibuat bagi terimaan dan pembayaran akaun MyMall," menurut laporan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan