WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WAI CHING MAHU TAWAN MENARA SUK SELANGOR

04/07/2024 05:08 PM

PUCHONG, 4 Julai (Bernama) -- Selepas berjaya mengungguli Larian Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (PJ) minggu lepas, pelari menara Soh Wai Ching kini mahu menawan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di Kejohanan Larian Menara Selangor pada 13 Julai ini.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata selain memenangi kejohanan itu, beliau juga berhasrat untuk mencatat rekod kejohanan dengan menyasarkan catatan masa 1 minit 40 saat di menara yang berketinggian  21 tingkat dan mempunyai 568 anak tangga itu.

“Saya tidak pernah berlari di SUK sebelum ini. Jadi ini kali pertama kalau boleh nak cipta rekod dan saya sasar 1:40 saat.

“Format larian untuk kejohanan ini sama seperti larian menara PJ yang Wai Ching kena lari tiga pusingan kemudian pusingan terakhir akan menentukan pemenang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman penajaan oleh Zus Coffee di sini hari ini.

Menerusi penajaan selama setahun bermula Mei 2024 hingga April 2025 itu, Wai Ching akan menerima tajaan berbentuk wang dan barangan daripada Zus Coffee.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan dan Pemasaran Zus Coffee Stephy Foong berkata syarikat itu berbangga menyokong Wai Ching dalam usahanya mencipta sejarah dan menaikkan nama Malaysia di peringkat dunia.

“Kami sentiasa menyokong jenama dan bakat tempatan. Wai Ching menampilkan semangat Malaysia.

“Dengan mewakili Malaysia pada pentas global, Soh Wai Ching menggalakkan semangat perpaduan dan rasa bangga menjadi warga Malaysia dalam kalangan rakyat, mempamerkan potensi kecemerlangan dalam diri setiap rakyat, memberi inspirasi untuk berusaha bagi mencapai yang terbaik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan