WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CHINA SOKONG KAZAKHSTAN SERTAI BRICS

04/07/2024 08:00 PM

ASTANA (Kazakhstan), 4 Julai (Bernama) -- China pada Rabu menyatakan sokongannya terhadap usaha Kazakhstan untuk menyertai kumpulan BRICS.

Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama selepas pertemuan antara Presiden Xi Jinping dan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev.

Menurut kenyataan itu, Xi berkata China menyokong kemasukan Kazakhstan ke dalam BRICS sebagai salah satu Kuasa Tengah untuk memainkan peranan yang semakin meningkat dan menyumbang kepada hal ehwal dan pengurusan global.

"China menyokong Kazakhstan untuk menyertai kumpulan BRICS.

"Kumpulan BRICS termasuk ekonomi sedang pesat membangun yang paling menonjol, iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta sejak awal tahun ini juga Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Kazakhstan Roman Vassilenko ketika ditemui pemberita pada Khamis, berkata keputusan negara itu untuk memohon keahlian BRICS tidak bermakna ia menyokong blok tertentu.

"Bagi kami, jika ada platform kerjasama ini maka kami ingin menjadi sebahagian daripadanya.

"Pada masa lalu, presiden kami pernah dijemput untuk menghadiri beberapa mesyuarat "BRICS Plus". Secara umum, ini adalah salah satu dimensi dasar luar kami untuk membangunkan hubungan ini dengan Rusia, China dan India.

"Mereka semua adalah ahli BRICS begitu juga Afrika Selatan. Tetapi bagi kami, ini adalah sebahagian daripada visi untuk mendekati semua rakan kongsi termasuk Barat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan