WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EKSESAIS MALINDO JAYA PERKUKUH HUBUNGAN TLDM, TNI-AL

29/06/2024 05:51 PM

KOTA KINABALU, 29 Jun (Bernama) -- Eksesais Bilateral Malaysia-Indonesia (Malindo Jaya) Siri 27AB/24 berjaya meningkatkan hubungan dan kerjasama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera  Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).

Markas Pemerintahan Armada Timur dalam kenyataan hari ini memaklumkan eksesais bermula Ahad lepas dan berakhir hari ini dilaksanakan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sepanggar di sini dan sekitar perairan Laut China Selatan.

Eksesais itu dirasmikan Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahjmad Fahimy dan disaksikan Kepala Staf Komando Armada II Laksamana Pertama TNI-AL Isswarto pada Isnin lepas. 

“Aset TLDM terlibat adalah Kapal Diraja (KD) Selangor, KD Rencong dan pesawat helikopter Operasi Maritim (HOM) manakala TNI-AL menghantar KRI-Frans Kaisiepo, KRI Sampari dan sebuah helikopter AS565 Panther bagi pelaksanaan latihan bersama itu,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu pelbagai siri latihan di pangkalan termasuk Table Top Exercise telah dilaksanakan sepanjang eksesais itu.

Katanya latihan di laut pula merangkumi pelbagai aspek peperangan konvensional dan juga keselamatan maritim.

“Selain aktiviti eksesais, kedua-dua angkatan laut juga telah mengukuhkan ukhwah melalui aktiviti sukan dan sosial.

“Aktiviti sosial yang telah dilaksanakan adalah Majlis Makan Malam Rasmi MALINDO anjuran TLDM dan Majlis Resepsi anjuran TNI-AL,” menurut markas itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan