WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEBIH 500 SERTAI LARIAN TAKAFUL 4ALL FUN RUN 2024 #KUANTAN AKTIF TENANG

06/07/2024 07:46 PM

KUANTAN, 6 Julai (Bernama) -- Lebih 500 peserta menyertai Takaful 4All Fun Run 2024 #Kuantan Aktif Tenang hari ini dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat.

Ketua Pegawai Operasi Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Hasri Hamidan berkata acara larian sejauh lima kilometer itu adalah penganjuran kali ketiga bersempena Karnival Celik Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia (BNM).

"Di samping kita memberikan maklumat mengenai kepentingan kewangan, perkara berkaitan penipu (scammer), kepentingan perlindungan takaful dan sebagainya, salah satu objektif utama kita adalah mempromosikan gaya hidup sihat.

"Bila kita bercakap tentang takaful dan insurans, kita tidak dapat lari dengan menjaga kesihatan dan gaya hidup sihat, sebab itu kita menganjurkan Takaful 4All Fun Run di setiap Karnival Celik Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersama-sama melepaskan larian berkenaan yang bermula di pekarangan pusat beli-belah East Coast Mall di sini hari ini.

Turut sama melepaskan larian berkenaan Timbalan Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Timbalan Pengerusi MTA Shahrul Azuan dan Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed.

Peserta yang memulakan larian bermula 7.30 pagi menerima medal penganjuran selain hadiah-hadiah cabutan bertuah.

Hasri berkata penganjuran acara itu sebelum ini diadakan di Kota Bharu, Kelantan dan Kulai, Johor serta bakal diteruskan pada masa akan datang sejajar dengan Karnival Celik Kewangan.

Program kali ini ditaja penaja premium Prudential BSN Takaful Berhad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan