WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AMERIKA SYARIKAT-SINGAPURA PERKUKUH KERJASAMA DATA, ANALITIK & AI

16/07/2024 02:19 PM

SINGAPURA, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menandatangani pernyataan hasrat (SOI) mengenai kerjasama Data, Analitik dan Kecerdasan Buatan (AI).

SOI berkenaan memudahkan kerjasama teknologi, membolehkan kedua-dua institusi pertahanan untuk membincangkan pendekatan dan saling bertukar amalan terbaik bagi memanfaatkan data, analitik dan AI dengan pantas dan berskala besar.

Jabatan Pertahanan AS dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan di bawah SOI, AS dan Singapura telah mengenal pasti bidang kerjasama utama seperti data berkualiti, pembangunan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab serta pengurusan bakat.

"SOI ini mewakili peluang penting untuk mempergiat kerjasama, memperkukuh keserasian dan mempromosikan kepimpinan global berasaskan nilai dalam penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam institusi pertahanan," menurut jabatan itu.

Sementara itu, kenyataan Mindef pada Selasa memaklumkan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd J. Austin III dan Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen membincangkan kerjasama dua hala membabitkan teknologi baharu seperti AI semasa pertemuan di Pentagon, Washington pada Selasa (waktu Singapura).

Mereka juga mengalu-alukan pemeteraian SOI, yang membina kerjasama teknologi pertahanan jangka panjang antara Mindef dan Jabatan Pertahanan AS selaras dengan Perjanjian Rangka Kerja Strategik 2005 dan Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) serta DCA Dipertingkatkan 2015.

Ng kini berada di AS sehingga 18 Julai dan dijadual berucap pada malam pembukaan Forum Keselamatan Aspen di Aspen, Colorado.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan