WILAYAH - SARAWAK > BERITA

11,783 OUTLET MAKANAN DIIKTIRAF BESS - KKM

07/07/2024 12:32 PM

TAWAU, 7 Julai (Bernama) -- Sebanyak 11,783 outlet makanan di negara ini menerima pengiktirafan premis bersih serta selamat (BeSS) dan tiga lagi premis di kawasan Kubota di sini dianugerahkan pengiktirafan sama pada program tinjauan mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

BeSS merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada premis yang telah diperiksa dan didapati bersih serta memenuhi pelbagai kriteria tertentu.

Dalam hantaran di laman Facebook hari ini, KKM berkata Program BeBAs melibatkan kerjasama di antara pengusaha premis makan dengan pelbagai agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO).

Program ini menitikberatkan konsep pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi.

"Persekitaran yang bebas tanpa amalan merokok amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dan ia selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok pada tahun 2040," menurut hantaran itu, pada hari ini.

Sementara itu Dr Dzulkefly dalam hantaran di laman Facebook berkata Tawau merupakan lokasi ketiga pelaksanaan program BeBAs, dan sebelum ini ia diadakan di Persiaran Waterfront Port Dickson serta Jalan Alor, Bukit Bintang masing-masing pada Jun dan Febuari.

"Program ini bertujuan untuk menerapkan pemahaman yang jitu dan pematuhan masyarakat, terutama pengusaha premis makanan dan penjaja, terhadap kepentingan kebersihan premis makanan dan larangan merokok. 

“Saya juga telah menyampaikan plak pengiktirafan BeSS kepada premis yang cemerlang. Tahniah kepada semua penerima atas pencapaian anda," katanya dalam hantaran itu.

Dr Zulkefly berkata kejayaan negara dalam memerangi bahana amalan merokok bergantung kepada keterlibatan semua pihak dan individu. 

"Tanpa sokongan dan kerjasama anda semua, usaha ini tidak mungkin akan berjaya," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan