WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BERNAMA LAKUKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS CEO SUKMA SARAWAK 2024

09/07/2024 02:17 PM

KUCHING, 9 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 Datu Hii Chang Kee di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Delegasi Bernama diketuai CEO Nur-ul Afida Kamaludin. Turut hadir Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Editor Eksekutif Elmi Rizal Elias dan Ketua Biro Bernama Sarawak Hamdan Ismail.

Nur-ul Afida berkata pelbagai perkara telah dibincangkan bersama Hii yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu.

“Sebenarnya kami (Bernama) berada di Sarawak kali ini untuk membuat tinjauan venue-venue yang akan terlibat dengan SUKMA untuk liputan kami. Di sini, kami berpeluang untuk melihat sendiri venue-venue ini yang telah disediakan kerajaan Sarawak.

“Pelbagai perkara juga telah dibangkitkan oleh Datu Hii terutamanya dari segi liputan Bernama Wires, Bernama TV dan Bernama Radio untuk SUKMA kali ini,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan itu.

Mengulas mengenai liputan Bernama sempena temasya yang akan berlangsung pada 17-24 Ogos ini, Nur-ul Afida berkata agensi berita itu akan menghantar seramai kira-kira 40 petugas terdiri daripada wartawan, wartawan penyiaran, penyunting, jurugambar serta jurukamera.

Beliau berkata pasukan Bernama akan berada di Bumi Kenyalang seawal 10 Ogos sehinggalah selesai temasya dan akan membuat liputan di semua lokasi terlibat. 

“Ini menunjukkan kesungguhan kami dalam memberikan liputan meluas untuk SUKMA. Pada kali ini SUKMA melibatkan lebih banyak acara, lebih ramai atlet dan ini merupakan penganjuran yang besar.

“Jadi menurut saya wajar untuk Bernama memberikan sokongan dan juga kerjasama dari segi membuat liputan menyeluruh di semua platform kita termasuk Bernama TV dan radio selain memenuhi tanggungjawab kami untuk menyalurkan maklumat berita buat para pelanggan kami,” katanya.

Menurut Nur-ul Afida, Bernama TV akan turut menyiarkan slot khas liputan temasya itu bermula 7.30 hingga 8 malam setiap hari.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan