WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WANITA NYARIS MAUT DIHEMPAP KAYU BALAK KETIKA MENUNGGU LAMPU ISYARAT

09/07/2024 06:13 PM

GUA MUSANG, 9 Julai (Bernama) -- Seorang wanita nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya dihempap beberapa kayu balak ketika sedang berhenti di lampu isyarat di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini hari ini. 

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 11.20 pagi tadi telah dirakam kamera papan pemuka kenderaan lain. 

Mangsa Siti Norelyana Kamaruzan, 21, tercampak daripada motosikalnya akibat rempuhan kayu balak yang jatuh dari lori yang terbalik ketika mengambil selekoh di laluan bersebelahan. 

Tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berkata Siti Norelyana kini sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang dipercayai mengalami kecederaan dalaman. 

“Saya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang rakan yang berada di tempat kejadian dan terus ke hospital untuk melihatnya. Doktor memaklumkan bahawa keadaan tunang saya kini tidak stabil,” katanya kepada pemberita di hospital tersebut di sini hari ini.

Nik Amnan Arif berkata tunangnya ketika itu sedang dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Bandar Utama untuk masuk bekerja sebelum beberapa kayu balak menghempap motosikalnya.

Sementara itu, saksi kejadian Nur Aima Nadia Ariffin, 32, berkata dia mendengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat keadaan riuh-rendah di lampu isyarat berkenaan.

“Beberapa batang kayu balak sebesar satu pemeluk dewasa berselerak di atas jalan dan menghalang keseluruhan laluan bersebelahan.

“Ketika menghampiri lokasi kejadian saya lihat terdapat seorang wanita sedang kesakitan di bawah kayu balak dan beberapa pengguna jalan raya turut keluar dari kenderaan mereka untuk cuba membantu mengeluarkan mangsa,” katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang menjalankan siasatan kes tersebut. 

Sik berkata kemalangan itu berpunca daripada turn-table lori balak tersebut yang patah ketika mengambil selekoh.

Berikutan itu, beliau berkata bahagian ekor lori yang dalam perjalanan dari arah Bandar Utama menuju ke Padang Tengku, Kuala Lipis di Pahang terbalik mengakibatkan muatan kayu balaknya bergolek dan mengenai seorang mangsa wanita bermotosikal serta sebuah kereta jenis Toyota Vios yang sedang menunggu lampu isyarat. 

“Pemandu lori balak dan kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat hingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat Insp Aida di talian 012-4027283 bagi membantu siasatan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan