WILAYAH - SARAWAK > BERITA

USAHA KEMBALIKAN KEGEMILANGAN TENUNAN IKAT LIMAR

11/07/2024 10:41 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

PETALING JAYA, 11 Julai (Bernama) -- Tenunan songket atau seni tekstil batik mungkin tidak asing bagi masyarakat di negara ini berbanding tenunan ikat limar yang popular dalam kalangan bangsawan dan kerabat diraja Kelantan serta Terengganu suatu masa dahulu.

Kurator Kanan Muzium Seni Asia Universiti Malaya (UM) Zahirah Noor Zainol Abidin berkata, tenunan ikat limar didakwa diilhamkan daripada kain dari India dikenali sebagai Patola, yang banyak dieksport ke kepulauan Nusantara sejak abad ke-16 dan amat diminati oleh golongan istana. 

"Kain ini dikatakan cukup rumit untuk dihasilkan kerana menggunakan teknik ikat berganda (double ikat) yang memerlukan kedua-dua benang suteranya iaitu loseng (bahagian alat tenun tempat menggulung benang) dan pakan (benang tenun yang melintang dalam kek tenun, lawan benang loseng) diikat dan diwarnakan terlebih dahulu sebelum ditenun menerusi proses ikat dan celup ( tie and dye ). 

"Dengan keindahan dan seni pembuatannya yang cukup menarik, tidak hairanlah kain import ini menjadi pilihan penduduk alam Melayu seterusnya menjadikannya sebagai sumber ilham penghasilan tekstil bercita rasa tempatan yang dikenali sebagai kain limar," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi mengangkat kembali kegemilangan seni warisan tekstil tradisional itu, Muzium Seni Asia UM mengadakan pameran 'Limar Tenunan Warisan Yang Kian Dilupakan' selama empat bulan, bermula pada 24 April dan berakhir pada 24 Ogos ini.

Zahirah Noor yang juga pemangku Ketua Muzium Seni Asia dan Galeri Seni UM berkata, seperti Patola, kain limar juga diperbuat menggunakan teknik ikat dan celup pada benang suteranya sebelum ditenun.

"Namun, daripada segi teknikal, ia sedikit berbeza kerana hanya benang pakan diikat dan diwarnakan sekali gus menjadi penentu ragam coraknya (motif)," katanya.

Menurut beliau, tenunan ikat limar biasanya mempunyai motif yang hampir sama dengan songket antaranya, seperti tampuk manggis, pucuk rebung, tampuk kesemak, bunga bintang dan dada lipan.

Beliau yang berkhidmat lebih 16 tahun di muzium berkenaan berkata, terdapat lebih 70 limar berusia antara 120 hingga 180 tahun yang terdiri daripada beraneka ragam seni hias dan teknik penghasilan di muzium itu, namun hanya sekitar 25 koleksi dapat dipamerkan kerana ruang yang terhad. 

Antara jenis kain limar yang terdapat dalam simpanan muzium itu adalah kain limar biasa, limar berayat, limar bersongket, limar telepuk dan limar tenggarun. 

Menurut Zahirah Noor, Muzium Seni Asia dan Galeri UM juga dalam perancangan membuat permohonan kepada Jabatan Warisan Negara untuk menilai dan mengiktiraf dua helai kain limar bersongket (sarong) dari Terengganu yang digunakan sebagai kain sarong diraja lelaki dan perempuan pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20 sebagai Objek Warisan Kebangsaan.

"Kain ini mempunyai nilai eksklusif dan keindahan luar biasa...  keindahan pembuatannya tidak hanya terletak pada kehalusan seni tenunan mahupun kualiti bahan tetapi juga kebijaksanaan pemilihan motif yang membawa falsafah tertentu," katanya.

Beliau menambah, menurut sejarah, pemakaian kain limar suatu ketika dahulu terhad untuk kegunaan golongan istana dan kerabat diraja sahaja dan ia digunakan sepanjang peringkat kehidupan mereka, sebagai satu warisan tradisi.

Bagi memastikan seni warisan ini terus terpelihara, beliau dan Penyelidik Seni dan Budaya Melayu Khairulanwar Rahmat menghasilkan sebuah buku bertajuk 'Limar Tenunan Warisan Melayu Koleksi Universiti Malaya. Buku itu dilancarkan di pameran berkenaan.

"Kita berharap ilmu kesenian ikat limar ini dapat dikongsikan kepada generasi muda memandangkan kita kepupusan pewaris yang berminat meneruskan warisan ini. Ia juga diharap dapat menyokong usaha pemeliharaan seni warisan termasuk diabadikan dalam bentuk dokumentasi bercetak sebagai rujukan generasi akan datang," katanya menambah, satu bengkel mengenai Ikat Pakan/Ikat Limar juga akan diadakan selama dua hari bermula 30 Julai ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan