WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA PEMBELI HARTANAH UDA HOLDINGS BAWA PULANG PERODUA ATIVA

16/07/2024 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Dua pembeli hartanah UDA Holdings Berhad (UDA), Sarah Fathiyah Mubarak dan They Wee Jin masing-masing membawa pulang sebuah Perodua Ativa selaku pemenang hadiah utama cabutan bertuah Kempen Hartanah UDA Ria 2023. 

UDA menerusi kenyataan hari ini memaklumkan empat pemenang lagi menerima pakej percutian ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu,  Pulau Nami (Korea Selatan), Bali (Indonesia) dan Pulau Semporna (Sabah), manakala lima pemenang mendapat pakej penginapan di rangkaian AnCasa Hotels & Resorts. 

"Sebanyak 455 pembeli hartanah UDA yang layak telah menyertai cabutan bertuah sempena Kempen Hartanah UDA Ria 2023 yang berlangsung selama setahun bermula 7 Julai tahun lepas, dengan kebanyakannya datang dari Lembah Klang iaitu 36 peratus dan wilayah selatan (35 peratus), wilayah utara (27 peratus) dan wilayah timur (dua peratus)," menurut kenyataan itu. 

Selain itu, UDA turut memberikan kad minyak Petronas bernilai RM100 dan kad Touch 'n Go bernilai RM50 kepada masing-masing 50 pemenang. 

Cabutan bagi keseluruhan hadiah berjumlah kira-kira RM200,000 kepada 111 pemenang itu dilaksanakan pengurusan UDA semalam, dengan pembeli hartanah UDA yang layak menyertainya hadir secara maya di platform dalam talian Microsoft Teams dan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi UDA Property. 

Penyerahan hadiah akan berlangsung di Karnival UDA 2024@ Pulau Pinang pada 28 Julai ini. 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany menerusi kenyataan sama berterima kasih kepada pembeli produk hartanah UDA sama ada kediaman mahupun komersial. 

"Terima kasih atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan untuk kami terus komited dalam mencorak, membentuk serta memodenkan bandar utama di Malaysia," katanya. 

UDA mencatatkan jualan hartanah bernilai RM276 juta sepanjang Kempen Hartanah UDA Ria 2023 melibatkan hartanah antaranya apartmen, kediaman berkembar, banglo dan rumah teres dua tingkat. 

Sementara itu, kempen hartanah Karnival UDA 2024 pula akan melibatkan empat lokasi dengan dimulakan di Pulau Pinang diikuti Selangor, Johor dan Sarawak. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan