WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR TELITI POLISI PULAU PINANG LARANG WARGA ASING JADI TUKANG MASAK DI GERAI PENJAJA

11/07/2024 01:03 PM

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan meneliti polisi yang dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang yang melarang warga asing untuk bekerja sebagai tukang masak di gerai penjaja.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata ia merupakan satu langkah kawalan awal untuk memastikan warga asing tidak berterusan menjaja tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu sukar dilakukan ketika ini memandangkan jumlah penduduk Selangor yang ramai iaitu melebihi tujuh juta orang.

“Apabila kita laksana perkara sedemikian, akan ada banyak pengusaha yang bakal protes, kenapa tidak boleh (dibenarkan warga asing jadi tukang masak). 

“Jadi, cadangan ini kita akan teliti dan rujuk dengan kerajaan Pulau Pinang dari segi bagaimana pelaksanaan mereka dan kalau sesuai, kita akan cuba laksanakan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Ng menjawab soalan tambahan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) yang mencadangkan Selangor mengikut langkah dilakukan Pulau Pinang yang melarang warga asing bekerja sebagai tukang masak di gerai penjaja.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini telah menguatkuasakan larangan bagi warga asing untuk bekerja sebagai tukang masak utama di gerai penjaja mulai 1 Jan 2016.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan