WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERUNTUKAN RM4.61 JUTA BAGI TAHUN MELAWAT PERAK 2024 SETAKAT INI - EXCO

11/07/2024 02:08 PM

IPOH, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak melalui Tourism Perak setakat ini menyediakan peruntukan RM4.61 juta untuk melaksanakan program serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pelancongan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata daripada jumlah itu, RM3.49 juta adalah untuk projek naik taraf infrastruktur, sementara RM1.12 juta bagi program membabitkan semua daerah.

"Semua projek dan program ini akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sebahagian program dianjurkan secara kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat," katanya ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) mengenai peruntukan telah digunakan kerajaan untuk mempromosi TMP 2024 bagi setiap daerah dan aktiviti menarik pelancong yang dilaksanakan di persisiran Sungai Perak serta pendapatan negeri hasil aktiviti pelancongan.

Loh berkata terdapat juga program yang dianjurkan oleh agensi dan NGO lain bagi memeriahkan TMP 2024 seperti pakej berbasikal di persisiran Sungai Perak. 

"Ia diusahakan oleh pengurusan penginapan iaitu Sayong Resort. Selain daripada itu, terdapat juga pakej makanan di hotel berkenaan yang terletak bersebelahan persisiran Sungai Perak," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata data perbelanjaan pelancongan negeri hanya akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia yang dijangka akan dikeluarkan pada Ogos atau September tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan