WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MELAKA KOMITED PASTIKAN PERTUMBUHAN EKONOMI TERUS DIBERI PERHATIAN - AB RAUF

11/07/2024 05:16 PM

MELAKA, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka komited memastikan pertumbuhan ekonomi diberi perhatian sepenuhnya selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri berkembang dengan kadar sederhana sebanyak tiga peratus pada 2023 berbanding 8.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata walaupun persekitaran luaran mencabar, Melaka telah mencatatkan KDNK sebanyak RM46.9 bilion pada tahun lepas.

Justeru, katanya bagi memastikan ekonomi negeri Melaka terus berkembang dengan baik, kerajaan negeri berpegang teguh kepada mandat rakyat dan turut memberikan perhatian kepada agenda mensejahterakan rakyat.

“Antaranya, membangunkan Melaka sebagai hab pendidikan tersohor dan pusat kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Satu unit khas di bawah seliaan Melaka Corporation (MCorp) telah ditubuhkan bagi tujuan penyelarasan program TVET di negeri Melaka dan penubuhan Melaka Centre of Excellence (MCOE).

“Kerajaan negeri percaya TVET berpotensi tinggi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang profesional dan berkemahiran tinggi seiring dengan negara maju,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Selain itu, katanya merancakkan aktiviti pelaburan di Melaka dengan menambah baik ekosistem pelaburan di negeri ini.

Beliau berkata sehingga Mac 2024, Melaka telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM2.38 bilion.

“Hasil lawatan kerja rasmi ke China baru-baru ini, satu syarikat semikonduktor ketujuh terbesar di dunia bakal meluaskan operasinya ke Melaka pada tahun ini dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM2.4 bilion sekali gus menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Di bawah langkah memperkukuh ekonomi rakyat, katanya kerajaan negeri akan terus membantu rakyat terutamanya golongan usahawan dan peniaga.

“Melalui inisiatif Program Mula Niaga, peruntukan RM3,000 seorang akan memberi manfaat kepada 67 usahawan dengan nilai implikasi kewangan keseluruhannya berjumlah RM200,000.

“Selain itu, bantuan am perniagaan seperti modal dan peralatan, kursus atau bengkel pengurusan perniagaan serta program bimbingan dan pemantauan keusahawanan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan perkhidmatan pinjaman atau pembiayaan oleh agensi kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya sehingga Jun lepas, bersempena Tahun Melawat Melaka 2024, kerajaan negeri telah berjaya menerima 7.7 juta kehadiran pelancong di Melaka.

 “Berdasarkan statistik untuk kehadiran pelancong asing, pelancong China merekodkan jumlah kehadiran tertinggi iaitu 34.88 peratus diikuti Singapura (16.63 peratus) dan Indonesia (14.26 peratus).

“Pada suku pertama 2024, Malaysia menerima 960,000 pelancong dari China dan 60 peratus daripadanya melancong ke Melaka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan