WILAYAH - SARAWAK > BERITA

1,000 METRIK TAN DURIAN SEGAR PREMIUM BAKAL DIEKSPORT KE CHINA PADA OKTOBER

11/07/2024 09:58 PM

LARUT, 11 Julai (Bernama) --- Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata sebanyak 500 hingga 1, 000 metrik tan durian segar premium khususnya varieti Musang King bakal dieksport ke China pada Oktober ini.

Beliau berkata bekalan durian yang bakal di eksport itu dilaksanakan melalui 52 pusat pemprosesan dan pembungkusan milik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang terdapat di seluruh negara.

“Jangkaan kita Oktober (eksport) namun semuanya perlu bergantung kepada kecepatan atau gerak kerja serta kelulusan dari Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) untuk proses berkenaan.

“Hasil bekalan durian premium ini kita peroleh daripada para pekebun yang berdaftar di bawah jabatan pertanian serta mempunyai Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP),” katanya kepada pemberita selepas Program Sesi Libat Urus Bersama Pengusaha Durian Bagi Pasaran China di sini hari ini.

Pada 1 Julai lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan pihaknya sedang dalam proses memuktamadkan format Sijil Fitosanitari bersama Jabatan Pertadbiran Am Kastam China (GACC) bagi kelulusan eksport durian segar dari Malaysia ke republik itu.

Sebelum ini, Mohamad bersama GACC memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar yang bertujuan memperluas pasaran ‘raja buah’ dari Malaysia ke China.

Sementara itu, Aminuddin berkata sesi libat urus yang melibatkan 150 peserta terdiri dalam kalangan petani dan pengeksport itu adalah bagi memberi pengetahuan berkaitan permintaan serta trend pasaran durian di China.

“Selain itu, sesi libat urus ini juga memberikan maklumat terperinci mengenai prosedur dan protokol eksport termasuk peraturan serta standard yang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata usaha ini bukan hanya mampu memperkukuh rantaian bekalan eksport malah meningkatkan kecekapan perolehan durian dari ladang sehingga ke pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan