WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KADAR TAMBANG BAHARU RAPID MOBILITI DI KL DAN PULAU PINANG DISELARAS

12/07/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Kadar tambang baharu perkhidmatan Rapid Mobiliti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kini diselaraskan kepada RM7 bagi dua penumpang untuk setiap tempahan, iaitu seorang penumpang orang kurang upaya (OKU) serta pengiring, bermula 15 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) Muhammad Yazurin Sallij berkata kadar tambang baharu itu lebih murah dan berpatutan dengan perkhidmatan yang ditawarkan selaras dengan peningkatan kos sara hidup.

"Perkhidmatan Rapid Mobiliti yang kini berwajah baharu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR0 yang dijalankan oleh Rapid Bus.

"Dengan van yang telah diubah suai iaitu menggunakan lif hidraulik, kami akan pastikan golongan sasaran khususnya komuniti berkerusi roda dapat bergerak dengan lebih selesa seperti orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Rapid Mobiliti merupakan perkhidmatan pengangkutan eksklusif pintu-ke-pintu yang telah memulakan operasinya pada 2011 di Kuala Lumpur dan 2016 di Pulau Pinang.

Sebelum ini, Rapid Kuala Lumpur mengenakan caj RM5 untuk seorang penumpang bagi setiap perjalanan, manakala Rapid Pulau Pinang mengenakan kadar tetap RM6 dan diikuti RM0.20 untuk setiap 100 meter atau 21 saat.

Perkhidmatan itu meliputi kawasan Shah Alam, Kajang, Seri Kembangan, Cheras, Subang Jaya, Petaling Jaya, Ampang, Selayang, Kuala Lumpur bagi Lembah Klang manakala bagi penumpang di Pulau Pinang, Rapid Mobiliti ditawarkan untuk kawasan di bahagian pulau sahaja.

Muhammad Yazurin berkata penyelarasan baharu tambang perkhidmatan itu diharap memberi manfaat kepada penumpang sedia ada serta akan dapat menarik komuniti berkerusi roda untuk menikmati perkhidmatan tersebut pada masa akan datang.

Selaras dengan kadar tambang baharu itu, beliau turut memaklumkan Rapid Bus memperkenalkan kaedah pembayaran tanpa tunai dengan mengimbas kod QR (Quick Response) yang dipaparkan dalam kenderaan itu.

"Penumpang masih boleh membayar dengan tunai sekiranya mereka tidak mempunyai kemudahan kod QR tersebut," katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan itu boleh layari laman media sosial Rapid KL @myrapid (Facebook) dan @myrapidkl (Instagram) atau Rapid Penang @rapidpgfans (Facebook) dan @myrapidpg (Instagram)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan