WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PAN GON BERJAYA TINGKATKAN KEYAKINAN RAKYAT TERHADAP SKUAD HARIMAU MALAYA - HANNAH

16/07/2024 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pengendali skuad kebangsaan Kim Pan Gon berjaya meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap pasukan Harimau Malaya sejak mula membimbing pasukan itu pada Februari 2022, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. 

Hannah, sedih dengan keputusan Pan Gon untuk meletak jawatan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan, berkata sumbangan jurulatih berasal dari Korea Selatan itu dalam arena bola sepak negara tidak boleh dinafikan. 

“Kita boleh melihat peningkatan ranking sejak beliau mengambil alih pasukan dari kedudukan ke-154 dunia ke tempat ke-130 pada November lepas. Beliau memaklumkan kepada saya, yang ada bersama beliau adalah kenangan manis sahaja bersama Malaysia.

“Jadi, bagi pihak kerajaan kita ucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Pan Gon dan terima kasih juga kepada keluarga beliau kerana meminjamkannya kepada Malaysia. Saya berharap pasukan Harimau Malaya tidak akan rasa terlalu terganggu dalam meneruskan proses mereka memperbaiki ranking,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman Tajaan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, hari ini. 

Hannah berkata beliau mendapat tahu keputusan itu apabila bertemu Pan Gon dalam satu majlis makan tengah hari anjuran Kedutaan Korea Selatan semalam.

“Saya juga ada tanya sama ada ini adalah keputusan muktamad atau kita boleh merayu untuk beliau buat pertimbangan semula dan beliau memaklumkan bahawa telah membuat keputusan, jadi soal merayu itu atau membuat pertimbangan semula tidak ada. 

“Beliau berkata Malaysia sangat istimewa untuknya dan sedang melihat apa lagi cara lain beliau boleh membantu untuk perkembangan atau pembangunan bola sepak Malaysia,”katanya.

Pada masa sama, Hannah meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengendalikan peralihan kejurulatihan itu, selain percaya dengan kepakaran badan induk bola sepak itu untuk mencari pengganti Pan Gon.

Terdahulu, Pan Gon mengesahkan dia meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuatkuasa serta-merta dalam satu sidang media khas di Wisma FAM hari ini.

Pan Gon menyatakan keputusan itu diambil atas faktor komitmen peribadi dan FAM melantik pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu seorang lagi pembantu jurulatih, E Elavarasan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan