WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH RAYUAN PUTUSKAN DUA PERUNTUKAN DALAM AKTA EKSTRADISI 1992 SAH

12/07/2024 07:29 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini telah membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri dan empat lagi untuk mengembalikan semula dua peruntukan dalam Akta Ekstradisi 1992 yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi tahun lepas yang memihak kepada ahli perniagaan Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua untuk mengisytiharkan bahawa Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 adalah tidak berperlembagaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi memutuskan bahawa kedua-dua seksyen adalah sah dan tidak bercanggah dengan peruntukan kuasa kehakiman di bawah Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 4,5,8 dan 9 berkaitan kebebasan asasi.

Ketika membenarkan rayuan Pendakwa Raya, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia, Azizah berkata prosiding ekstradisi bukanlah bertujuan menentukan kesalahan seseorang individu sebaliknya bagi menentukan bukti yang mencukupi bagi tujuan ekstradisi.

Azizah, yang bersidang bersama-sama Datuk See Mee Chun dan Mohamed Zaini Mazlan, berkata prosiding ekstradisi adalah prosiding komital dan bukannya perbicaraan sambil menambah bahawa tidak ada isu Menteri Dalam Negeri mencampuri pelaksanaan kuasa kehakiman di Mahkamah Sesyen.

“Kami mendapati Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang dalam keputusannya untuk membenarkan campur tangan Mahkamah Rayuan," kata beliau yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 2021, Ling dan Wong yang diminta untuk diekstradisi oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atas dakwaan terlibat dalam sindiket penggodaman secara besar-besaran telah memfailkan permohonan memohon Mahkamah Tinggi menentukan beberapa persoalan perlembagaan berkaitan kesahihan undang-undang ekstradisi.

Pada Januari tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membatalkan Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 selepas memutuskan bahawa ia bercanggan dengan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan serta kebebasan asasi ahli perniagaan.

Seksyen 4 menyebut tentang kuasa Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan ekstradisi suspek bagi menghadapi pertuduhan jenayah ke negara yang mengemukakan permohonan manakala Seksyen 20 menyatakan bahawa mahkamah perlu menahan suspek sementara menunggu arahan menteri terbabit untuk menyerahkannya.

Kerajaan Amerika Syarikat mahu mereka berdepan pertuduhan di Columbia atas dakwaan menjalankan operasi penggodaman global bagi mencuri identiti, teknologi permainan video game dan meletakkan perisian tebusan serta mengintip aktivis Hong Kong.

Mereka telah dibawa di hadapan Mahkamah Sesyen untuk kerajaan mendapatkan perintah ekstradisi.

Dalam permohonan di Mahkamah Tinggi, mereka mendakwa kedua-dua peruntukan Akta Ekstradisi itu telah melanggar beberapa perkara dalam perlembagaan yang menyentuh isu kebebasan asasi dan kuasa kehakiman.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin hadir bagi pihak Menteri Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia manakala peguam Tey Jun Ren mewakili kedua-dua ahli perniagaan.

Tey kemudian memaklumkan media bahawa beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada mereka berhasrat mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan