WILAYAH - UTARA > BERITA

ULTRAZ ANJUR PERTANDINGAN FUTSAL ALA ‘SUPER BOWL’

13/07/2024 01:22 PM

ALOR SETAR, 13 Julai (Bernama) -- Sebuah syarikat pengeluar jersi mengambil inisiatif menganjurkan  pertandingan futsal ‘Ultraz League’ berkonsepkan ala Super Bowl bagi menarik minat golongan belia di Kedah.

Pertandingan bermula pada 14 Jun lepas di beberapa pusat futsal di negeri itu sebelum pasukan juara dan naib juara di peringkat pusat futsal berkenaan memasuki pusingan grand final malam tadi.

Bagi menghidupkan suasana kejohanan, pihak penganjur menampilkan persembahan yang sinonim ketika Super Bowl dengan membawakan pancaragam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma bagi menghiburkan penonton.

Pengurus Ultraz Brand Muhammad Addin Naza Ramli berkata acara itu bagi menyediakan platform kepada golongan muda bermain futsal secara serius dalam bentuk pertandingan berbanding hanya bermain untuk mengisi masa lapang selain mencungkil bakat baharu.

“Meskipun kejohanan yang dianjurkan ini hanya melibatkan kalangan anak muda daripada komuniti setempat sekitar Kedah, namun kami mahu ia dilihat sebagai kejohanan yang besar,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Muhammad Addin, jumlah keseluruhan hadiah lebih RM5,000 juga menjadi antara tarikan kepada pasukan untuk menyertai kejohanan itu selain pemberian jersi percuma kepada pemain.

Pada perlawanan akhir malam tadi, pasukan AA Apparel muncul juara selepas menewaskan Tandop FC 4-3 menerusi sepakan penalti selepas keputusan 0-0 pada waktu permainan biasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan