WILAYAH - UTARA > BERITA

370 PESERTA DARI 16 NEGARA SERTAI EAYCC 2024

14/07/2024 07:18 PM

GEORGE TOWN, 14 Julai (Bernama) -- Sebanyak 370 peserta dari 16 negara mengambil bahagian dalam Kejohanan Catur Remaja Asia Timur (EAYCC) 2024 yang berlangsung di Pulau Pinang bermula 12 hingga 21 Julai ini.

Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi berkata selain Malaysia, negara yang bertanding antaranya termasuklah China, Singapura, Hong Kong, Filipina, Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Mongolia dan Vietnam.

"Kejohanan ini ialah sebahagian daripada strategi untuk membawa kejohanan bertaraf kontinental Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) ke Pulau Pinang yang buat julung kalinya menjadi tuan rumah acara tahunan yang dianjurkan untuk pemain muda FIDE itu.

"Dalam masa yang sama, ia dapat memberi peluang kepada peserta di Malaysia mendapat pengalaman bersaing dengan peserta luar negara … kami gembira dan berbangga kerana sukan bertaraf antarabangsa ini dapat dijayakan di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kejohanan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong dan turut dihadiri Presiden Persatuan Catur Malaysia (MCF) Akhramsyah Sanusi Junid dan Persatuan Catur Pulau Pinang (PCA) See Swee Sie.

Gooi berkata Malaysia menghantar 74 pemain untuk bersaing merebut trofi dan pingat pada kejohanan yang dianjurkan oleh PCA bersama MCF itu yang terbahagi kepada enam kategori iaitu bawah 8 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 14 tahun, bawah 16 tahun dan bawah 18 tahun, serta terbuka lelaki dan perempuan.

Menerusi kejohanan ini katanya, diharapkan lebih ramai bintang catur akan muncul dari negeri ini, seterusnya mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, See berkata pasukan negara berjaya memenangi pingat emas dalam acara individu dan berpasukan yang dipertandingkan semalam.

"PCA dan MCF mempunyai visi bersama untuk mempromosikan dan memperluas pertandingan catur di sekolah-sekolah dan dalam masa yang sama mencungkil bakat baharu dalam sukan ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan