WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANUGERAH MELODI EMAS HOKKIEN DUNIA 2024 JADI PLATFORM PERTUKARAN BUDAYA

14/07/2024 07:28 PM

SEPANG, 14 Julai (Bernama) -- Majlis Anugerah Melodi Emas Hokkien Dunia dan Grand Prix Muzik Hokkien Rentas Selat 2024 menjadi platform penting dalam mempergiat usaha pertukaran budaya antara Malaysia-China serta mempromosi seni muzik Hokkien di pentas dunia.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Yeoh Soon Hin berkata program anjuran Jawatankuasa Anugerah Melodi Emas Hokkien itu juga menjadi pemangkin dalam usaha memperkasa hubungan kedua-dua negara lebih-lebih lagi 2024 adalah ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Jadi kita patut menggalakkan lebih banyak lagi program atau aktiviti yang dapat meningkatkan pemahaman rakyat kedua-dua negara berkenaan budaya dan seni masing-masing.

“Malah Hokkien juga merupakan antara dialek yang sangat biasa di Malaysia, sememangnya ramai masyarakat Cina di Malaysia bertutur dalam dialek ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Anugerah Melodi Emas Hokkkien Dunia Dan Grand Prix Muzik Hokkien Rentas Selat 2024 di Universiti Xiamen Malaysia dekat sini hari ini.

Yeoh juga berkata pertandingan muzik Hokkien itu terbuka kepada semua termasuk penggiat seni di seluruh dunia dan majlis kemuncak bagi anugerah tersebut akan berlangsung di Xiamen, China pada 1 Nov ini.

“Selain itu sama seperti harapan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia, kita mahu program sebegini dapat menarik lebih ramai pelancong dari China untuk berkunjung ke Malaysia,” katanya.

Pertandingan itu bertujuan mencipta majlis anugerah lagu emas Hokkien bertaraf dunia selain mempromosikan budaya muzik itu dan kisah Fujian Selatan serta China di peringkat global.

Majlis kemuncak yang bakal dianjurkan secara gilang-gemilang pada 1 Nov ini dijangka mengumpulkan 50 finalis dari seluruh dunia untuk bertanding di pentas akhir acara berprestij itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan